Rabu, 2 Oktober 2019 | 1:00pm
Eyra percaya niat untuk berkahwin pada usia muda akan diberkati dan dipermudahkan. Foto NSTP Mahzir Mat Isa

'Niat baik pasti dipermudahkan'

KUALA LUMPUR: Bakal bergelar isteri kepada penjaga gol skuad bola sepak bawah 23 tahun negara, Eyra Hazali sedar ada pihak menganggap dia masih terlalu muda untuk berkahwin.

Eyra, 20, bagaimanapun percaya niat untuk mengahwini Muhammad Haziq Nadzli, awal bulan depan, dipermudahkan.

“Insya-Allah, saya sudah bersedia melalui fasa dan tanggungjawab berumah tangga.

“Biarpun ada yang menganggap saya masih terlalu muda untuk menggalas tanggungjawab besar, apatah lagi kerjaya seni baru memuncak, niat yang baik akan dipermudahkan.

“Bukankah mendirikan rumah tangga itu sesuatu yang amat digalakkan,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang popular melalui drama Mr Grey itu memberitahu, dia akan terus berlakon selepas berumah tangga.

Eyra berkata, Haziq tidak pernah melarangnya bergiat aktif dalam dunia lakonan kerana menyedari ia sumber rezeki.

“Sebelum kami berkenalan lagi, bidang lakonan adalah rezeki saya sejak usia enam tahun.

“Cuma selepas berkahwin, Haziq berpesan, saya kena lihat karakter yang akan dilakonkan. Ada batas-batas yang perlu dijaga,” katanya.

Mengenai Haziq, Eyra menyifatkan bakal suaminya matang dan bijak mengawal keadaan.

“Haziq sabar melayan kerenah saya. Ada setengah lelaki mungkin penat nak melayan kalau orang asyik fikir bukan-bukan. Kalau saya tidak okay, dia akan pujuk,” katanya.

Bercerita mengenai hari bahagia yang dirancang, Eyra yang berlakon dalam drama Puteri Yang Ditukar memberitahu, ada tiga majlis yang diatur keluarga.

“Selepas bernikah, kami akan diraikan dalam majlis resepsi pada 3 November. Ini diikuti majlis bertandang pada 9 November,” katanya.

Eyra dan Haziq mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lalu selepas setahun bercinta.

Eyra pernah menghiasi video muzik Anuar Zain, Andainya Takdir dengan melakonkan watak sebagai anak kepada watak dilakonkan Anuar dan Sharifah Sakinah.

Pada usia 11 tahun, Eyra merangkul trofi Pelakon Drama Televisyen (TV) Kanak-Kanak Terbaik pada Anugerah Sri Angkasa 2010 hasil lakonan dalam telefilem Anak Anak Lorong.

Berita Harian X