Rabu, 2 Oktober 2019 | 9:01am
BAKAL protege, Alif Johan, pada sidang media Mentor Milenia 2019 di Petaling Jaya. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Anak Nora antara bakal protege

PETALING JAYA: Anak kedua penyanyi, Nora Ariffin, Alif Johan, tersenarai antara 20 bakal protege program realiti Mentor Milenia 2019 yang akan menemui penonton TV3, Ahad ini

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Syakir Alif Johan Nawawi, 20, berkata selain mahu mengetengahkan bakat, dia ingin meneruskan legasi seni bapanya yang juga komposer terkenal.

“Tujuan saya menyertai program ini untuk menyambung legasi ditinggalkan arwah abah. Selepas abah meninggal, kami tak nampak siapa yang boleh menyambung usahanya. Abang saya tidak meminati muzik, manakala adik pula masih bersekolah.

“Andai suatu hari nanti ibu bersara, siapa pula yang mahu membawa nama Johan dalam industri seni? Jadi, saya memutuskan untuk mencuba nasib. Manalah tahu ada rezeki saya di luar sana?” katanya kepada BH Online.

Alif turut mendedahkan, ibunya agak skeptikal apabila mengetahui dia ingin menyertai program realiti.

“Apabila mendapat tahu saya menyertai program ini, dia bimbang saya tak boleh terima kecaman warganet. Dia bercakap berdasarkan pengalamannya menyertai sebuah program realiti, sebelum ini. Bagaimanapun, saya sudah bersedia.

“Pesannya, selain menjaga kesihatan dan mengelak minuman berais, dia juga mahu saya sentiasa kuat serta tabah. Ibu tidak mahu saya melayan komen negatif warganet,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Mentor Milenia 2019, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, pelajar tahun akhir jurusan perfileman Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini menyangkal dakwaan dirinya terpilih ke peringkat Top 20 hanya kerana dia anak selebriti.

“Semua ini hasil usaha saya sendiri, tanpa ada sebarang bantuan orang dalam. Kalau tak percaya, boleh tengok video rakaman. Seperti peserta lain, saya juga perlu beratur untuk menyertai sesi uji bakat,” ujarnya.

Lima penyanyi terkenal, Akim Ahmad, Hazama, Black, Stacy dan Ernie Zakri diberikan amanah membimbing 10 peserta yang terpilih sebagai protege dalam program itu.

Peserta program yang bakal diacarakan oleh Shuk Sahar, Elly Mazlein dan Zetty (Hot FM) itu akan dinilai oleh dua juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat dan Altimet.

Mentor Milenia 2019 bakal menemui penonton TV3 pada setiap Ahad, jam 9 malam.

Berita Harian X