Ahad, 29 September 2019 | 1:21pm
PELAKON, Mimi Lana, ketika menjayakan penggambaran filem, Pusaka, Julai lalu. - Foto Instagram Mimi Lana
PELAKON, Mimi Lana, ketika menjayakan penggambaran filem, Pusaka, Julai lalu. - Foto Instagram Mimi Lana

Badan kurus, Mimi Lana dipersenda warganet

KUALA LUMPUR: Gara-gara memiliki tubuh yang dikatakan terlalu kurus, pelakon, Mimi Lana, mengakui dirinya sering dipersendakan warganet.

Akui terbuka menerima komen netizen, Mimi atau nama penuhnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 24, bagaimanapun pelik apabila segelintir pihak terlalu risau dengan susuk badannya.

"Bukan sahaja mereka yang berbadan gempal, orang kurus macam saya pun dipersendakan. Tetapi, saya tidak mempunyai masalah dengan komen sebegitu.

"Cuma, segelintir pihak seperti terlebih prihatin apabila melihat tubuh saya begini. Mereka memberikan komen berbaur kesedihan dan terkejut melihat keadaan diri saya.

"Kadang-kadang saya sendiri tak faham, bentuk tubuh macam mana yang mereka anggap sihat?" katanya kepada BH Online.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Cari Aku Di Syurga itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Pusaka, di sini.

SYAFIQ Kyle dan Mimi Lana pada pelancaran filem Pusaka di Kuala Lumpur. - NSTP/Mahzir Mat Isa
SYAFIQ Kyle dan Mimi Lana pada pelancaran filem Pusaka di Kuala Lumpur. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Dalam naskhah bercorak seram yang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 31 Oktober depan itu, dia berlakon di samping Syafiq Kyle, Fauziah Ahmad Daud, Hafidz Roshdi dan Sweet Qismina.

Mimi berkata, tubuhnya semakin mendapat perhatian warganet apabila dia kehilangan enam kilogram bagi menjayakan watak dalam filem terbabit.

"Biasanya, berat saya sekitar 49 kilogram. Pengarah filem ini, Razaisyam Rashid, bagaimanapun mahu saya kelihatan polos, tanpa perlu sebarang solekan tambahan, bagi menampakkan wajah cengkung.

"Jadi, sepanjang latihan dan penggambaran, saya berjaya menurunkan berat badan sehingga mencecah 43 kilogram.

"Ketika itu, pelbagai komen diterima, sedangkan saya cuma mahu menjayakan watak penagih dadah. Bagaimanapun, kini saya kembali ke berat asal.

"Saya juga berusaha untuk mendapatkan berat ideal, iaitu 55 kilogram. Bagaimanapun, ia lebih susah berbanding usaha menurunkan berat badan. Kadar metabolisme saya agak tinggi," ujarnya.

Berita Harian X