Sabtu, 28 September 2019 | 4:16pm
PENYANYI dan komposer, Joe Flizzow, pada sidang media Def Jam Recordings Malaysia dan Singapura di Publika. - NSTP/Mahazir Mat Isa

Joe Flizzow tiada masalah dengan Caprice

KUALA LUMPUR: Bintang hip hop, Joe Flizzow, menjelaskan tidak pernah mempunyai masalah dengan artis yang turut memperjuangkan genre muzik sama, Caprice.

Joe, 40, berkata, salah faham mengenai hubungan mereka timbul apabila masing-masing pernah membuat luahan di media sosial pada masa yang sama.

“Saya tidak pernah mempunyai masalah dengan Caprice, malah saya melihat dia sebagai penyanyi yang boleh menjadi contoh kepada penggemar muzik tempatan. Salah faham timbul apabila kami berdua memuat naik status pada masa yang sama dan ada pihak membuat andaian sendiri.

“Ciapan yang dikemaskini itu ditujukan kepada penganjur konsert yang membuang nama saya daripada senarai, pada saat akhir. Pada waktu sama, Caprice turut memuat naik status di Twitter, berhubung perkara lain. Disebabkan hal itu, mungkin kami dilihat seperti saling berlawan di laman sosial.


PENYANYI rap, Caprice. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

“Malah, saya pernah merangka kumpulan untuk Caprice ketika dia mula hendak menapak dalam industri muzik. Ada dua lagu yang dihasilkan pada 2004, cuma belum dilancarkan. Saya sendiri berbangga melihat perkembangannya yang bukan sekadar menghiburkan, malah menyelitkan mesej positif pada masa sama,” katanya kepada BH Online.

Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, mengulas mengenai isu terbabit ketika majlis sidang media pengumuman pengembangan label terbaru Def Jam Recordings Malaysia dan Singapura, gabungan Kartel Records dengan Universal Music Sdn Bhd.

Def Jam kedua-dua negara itu kini mempunyai barisan bakat seperti Joe, SonaOne, AbubakarXLI, Caprice, Badboii, Alif, Fariz Jabba dan Yung Raja.

“Semestinya saya berbangga dengan pencapaian industri hip hop kerana berjaya menapak sehingga ke peringkat ini. Suatu masa dahulu, saya pernah ditertawakan apabila bercakap mengenai muzik ini.

“Kini, perjuangan hip hop semakin diterima dan gabungan ini diharap memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian dan berusaha keras menggapai cita-cita,” kata Joe.

Berita Harian X