Sabtu, 28 September 2019 | 1:19pm
PENYANYI dan pelakon, Naim Daniel, kini muncul dengan single berjudul Adakah Engkau Menungguku. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Naim nafi biadap tolak tawaran program realiti

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, menyangkal dakwaan digam sebuah stesen televisyen gara-gara bersikap biadap ketika menolak tawaran menyertai program realiti terbitan mereka.

Terkejut dengan dakwaan berkenaan, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 22, berkata dia memang menolak tawaran terbabit, namun ia dilakukan tanpa menyinggung perasaan sesiapa.

“Setakat ini, saya tidak pernah berdepan sebarang masalah dengan mana-mana stesen penyiaran. Isu kena gam itu juga tidak benar sama sekali. Ia hanya khabar angin. Seboleh mungkin, saya cuba menjalinkan hubungan baik dengan semua pihak.

“Berhubung tawaran menyertai program terbabit, saya tidak dapat menjayakannya kerana jadual kerja yang tak mengizinkan. Setiap hari, ada sahaja undangan persembahan perlu dipenuhi.

“Saya tidak menafikan, program realiti itu bagus untuk mempromosikan diri. Cuma, waktu membataskan saya untuk menyertainya,” katanya kepada BH Online.

Sebagai artis yang sudah lama berada dalam industri seni, penyanyi yang popular dengan lagu Sumpah itu berkata, dia tidak berasa hati dengan tuduhan sedemikian.

“Biasalah, gosip sebegini menjadi mainan anak seni dan saya lebih suka apabila ada yang bertanyakan kepada saya sendiri, sama ada cerita itu sahih ataupun sebaliknya,” tegasnya.

Terdahulu, pelakon yang popular dengan watak Budi dalam drama rantaian, Pia, ini melancarkan single terbarunya, Adakah Engkau Menungguku, yang menyaksikannya berkolaborasi dengan artis rap, Tuju.

Lagu bergenre pop itu adalah hasil ciptaan Adib Hamdi dan Naim sendiri.

Berita Harian X