Khamis, 26 September 2019 | 5:14pm

Hasrat Yazit tunai umrah tidak kesampaian

KUALA LUMPUR: Hasrat Allahyarham Yazit Ahmad, 57, mengerjakan umrah tidak kesampaian apabila menghembuskan nafas terakhir, jam 11.53 pagi tadi selepas dua hari bertarung nyawa.

Anak bongsunya, Shafiqa Nurlis, 29, berkata bapanya sudah lama berniat ke Tanah Suci Makkah, tetapi faktor kesihatan kerana menghidap sakit buah pinggang kronik dan komplikasi lain membantutkan keinginan itu.

“Sepatutnya dia menunaikan umrah bulan lalu, tetapi ia tidak dapat direalisasikan kerana keadaan kesihatannya yang tidak menentu. Allahyarham juga sedar tahap kesihatannya.

“Namun, saya pujuk untuk membawanya ke sana jika keadaan kesihatannya bertambah baik. Soal kewangan, saya katakan padanya, biar kami tiga beradik usahakan.

“Bagaimanapun, Allah Maha Pengasih apabila ayah terlebih dahulu dijemput menemui-Nya. Kami sekeluarga reda dengan pemergian ini,” katanya ketika ditemui di Masjid Sallehuddin Al Ayubbi, Taman Melati, di sini.

Allahyarham disembahyangkan di masjid itu selepas solat Zuhur sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah Taman Selasih untuk dikebumikan.

Selain Shafiqa, 29, Allahyarham meninggalkan isteri, Ramlah Ahmad, 59, dan dua lagi anak Razilah, 38, dan Shahmirnuri, 34.

Shafiqa berkata, Jumaat lalu, ayahnya meluahkan perasaan enggan masuk hospital lagi selepas dua hari ditahan di wad, berikutan sesak nafas pada awal September lalu.

“Kami berbual panjang hari itu dan ayah ada memberitahu, tidak mahu masuk hospital lagi. Ayah mahu berehat. Ketika itu, keadaannya seperti biasa dan masih bertenaga.

“Tengah malam kelmarin, ayah tiba-tiba tidak sedarkan diri. Kami terus bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya berkongsi detik akhir bersama bapanya.

Allahyarham dimasukkan ke wad kecemasan HKL, awal pagi kelmarin selepas mengadu sesak nafas dan sebaik tiba di hospital, jantungnya terhenti dan diberi bantuan pernafasan (CPR).

Yazit berdepan penyakit buah pinggang lebih 10 tahun lalu, sebelum diserang beberapa masalah lain hingga kerap keluar masuk hospital, selain menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Sebagai anak, kata Shafiqa, dia kagum dengan semangat juang ayahnya yang tidak menyerah hingga ke nafas terakhir, selain sangat menyintai dunia muzik.


SHAFIQA kagum dengan semangat ayahnya yang tidak menyerah kalah melawan penyakit ketika hayatnya. Foto Mustaffa Kamal

Ramlah (kanan) menyiram air mawar di pusara suaminya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah Taman Selasih. - NSTP/Mustaffa Kamal

Sementara itu, mewakili ibunya, Shafiqa turut melahirkan perasaan terharu dengan kehadiran rakan seperjuangan Allahyarham, terutama anggota kumpulan Search yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

“Kami tidak maklumkan keadaan ayah kepada rakan lain memandangkan ketika itu agak kelam-kabut. Namun, mereka termasuk Uncle Nasir, Kid, Din, Hillary dan ramai lagi datang melawat sejak malam tadi.

“Hari ini pun mereka datang bagi memberikan penghormatan terakhir. Saya mewakili emak meminta maaf jika arwah ada menyakiti hati sesiapa ketika hayatnya.

“Apa yang terjadi antara ayah dan Search adalah hal peribadi, tetapi sampai bila-bila silaturahim kami tidak akan putus kerana kami sudah seperti saudara,” katanya.


DIN (tengah) dan Kid antara rakan seperjuangan Yazit yang hadir memberikan penghormatan terakhir. Foto Mustaffa Kamal

Antara rakan seperjuangan lain memberikan penghormatan terakhir, termasuk Datuk M Nasir, Datuk Awie, Datuk Hattan, Man Bai, Jojet, Joe, selain Liza Hanim.

Kira-kira 300 keluarga, kenalan dan peminat mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham sebelum disemadikan.

Allahyarham Yazit Ahmad. - Arkib NSTP
Berita Harian X