Isnin, 23 September 2019 | 6:11pm
STACY terkilan dilabel sebagai ‘wanita akhir zaman’ gara-gara penampilannya ketika beraksi pada kemuncak ABPBH 32, malam tadi. Foto Eizairi Shamsudin

Kalau tahu tak elok, jangan tengok - Stacy

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Stacy Anam mengakui, terkilan dilabel sebagai ‘wanita akhir zaman’ gara-gara persalinan yang digayakan ketika membuat persembahan pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, malam tadi.

Stacy berkata, sebagai penyanyi, ada ketika dia berhadapan situasi tidak dijangka dan ia berlaku apabila penampilannya menimbulkan perasaan kurang senang segelintir pihak.

“Tidak boleh buat salah atau tidak sengaja, silap sedikit habis dilabel sebagai ‘wanita akhir zaman’. Mungkin orang yang komen itu hebat kerana tidak pernah buat salah.

“Kasihanilah kami yang ada ketika terpaksa melalui hari tidak bernasib baik. Niat saya untuk mendapatkan semangat kembali bekerja dan saya buat sekadar yang termampu serta ikhlas.

“Apabila jadi begini, ditambah kejamnya mulut manusia yang suka menghukum, saya rasa sakit sangat, terutama apabila suami dan keluarga terheret sama,” katanya.

Stacy berkata, sebenarnya fabrik seluar yang digayakannya itu tebal dan longgar, selain berwarna kuning.

“Tidak sangka pula, apabila beraksi di atas pentas dengan pencahayaan dan pergerakan, macam-macam perkara boleh jadi,” katanya.

Stacy berkata, dia tidak melatah ditegur, cuma jangan keterlaluan dan membuta-tuli membuat kesimpulan tanpa terlebih dahulu memahami situasi sebenar.

“Nak komen, janganlah melampau sangat. Saya ada suami dan keluarga, tetapi inilah nasib kami yang bekerja dalam bidang ini. Memang ada risiko. Saya yakin menghibur orang dengan sehabis tenaga, tetapi lain pula jadinya.

“Saya nasihatkan, jangan tengok benda yang menyakitkan mata sebab memang tidak elok. Biarlah, (terpulang) niat awal masing-masing. Kami tahu ke mana dan hanya Allah yang tahu serta menentukannya.

“Saya minta maaf jika buat anda semua tergerak untuk memfitnah dan berfikir macam-macam. Terima kasih kepada yang nampak usaha persembahan saya itu,” katanya menerusi perkongsian status di Facebook, hari ini.

Stacy membawakan lagunya, Khayal serta dan lagu popular Beyonce, Baby Boy ketika beraksi bersama De Fam pada malam kemuncak ABPBH32 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada perkongsian sama, Stacy berharap orang ramai tidak mengheret suaminya, Akim Ahmad di atas kekhilafan yang berlaku.

“Jangan babitkan suami saya. Dia juga sibuk bekerja dan semua kesilapan itu datang daripada saya seorang,” katanya mengakui, pernah terfikir meninggalkan dunia hiburan, namun belum mampu berbuat demikian.

Berita Harian X