Isnin, 16 September 2019 | 4:45pm
RYAN manfaat ruang bersama ABPBH 32 untuk dekati peminat. Foto Aziah Azmee
RYAN manfaat ruang bersama ABPBH 32 untuk dekati peminat. Foto Aziah Azmee

Ryan Deedat rela bersengkang mata kukuhkan nama

KUALA LUMPUR: Finalis Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Ryan Deedat sanggup mengetepikan penat demi memanfaatkan ruang mendekati peminat.

Biarpun terpaksa berkorban masa rehat, Ryan akur untuk kuatkan semangat kerana baginya, peluang keemasan seperti itu hanya sesekali datang.

Ia terbukti apabila selesai acara #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam, kelmarin, Ryan bergegas ke lapangan terbang untuk menyertai sebuah program lain di Kuching, Sarawak.

“Memandangkan penerbangan ke sana pada awal pagi, saya ambil keputusan terus ke lapangan terbang sebaik acara #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 selesai.

”Penat memang penat, tambahan pula terpaksa melelapkan mata di lapangan terbang sementara menanti pesawat berlepas. Tetapi, demi menghargai sokongan peminat, saya sanggup berkorban.

“Segala lelah saya berbaloi apabila peminat di Kuching memberikan sambutan luar biasa ketika saya menjayakan Mini Showcase Hari Malaysia anjuran Cats FM bersama Ara Johari, KClique dan The Crew.

“Mereka sentiasa menyokong saya sepanjang proses pengundian ABPBH 32 berlangsung. Seronok apabila dapat bersama peminat pada hari terakhir undian, malah mereka berhabis-habisan berusaha kerana mahu melihat saya berjaya pada malam kemuncak nanti,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi itu, penyanyi lagu Salimah dan Propa itu turut mengambil inisiatif mengadakan sesi bertemu peminat sebelum kembali ke ibu negara.

“Memandangkan saya hanya akan pulang esok, jadi ruang yang ada saya manfaatkan dengan meluangkan sedikit masa bersama mereka sebagai tanda terima kasih.

“Apa yang saya lakukan ini tidak memadai dengan sokongan yang diberikan selama ini. Mengenai harapan pada malam kemuncak ABPBH 32 nanti, saya hanya berserah kepada rezeki.

“Jika ditakdirkan menang, sudah tentu ia membawa makna besar dalam perjuangan saya. Alhamdulillah, pencalonan dalam ABPBH 32 banyak membantu mengukuhkan lagi nama saya.

“Impaknya cukup luar biasa, malah menerusi siri jelajah, saya berpeluang mendekatkan diri dengan kelab peminat, Ryanersmy,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ryan berkata, dia baru melancarkan single ketiga berkonsepkan balada, Jika Memang Harus ciptaan Aepul Drama Band pada 11 September lalu, sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-27.

Sebelum ini, dua single terdahulu penyanyi kelahiran ibu negara itu mengetengahkan konsep muzik dansa elektronik (EDM).

Berita Harian X