Ahad, 15 September 2019 | 7:51pm
Remy yang membintangi Sangkar menjadi antara faktor yang menarik peminat menonton karya terbaru sutradara Kabir Bhatia itu. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

Sangkar kutip RM10 juta 17 hari

KUALA LUMPUR: Filem seni bela diri campuran (MMA), Sangkar terus menggegar pawagam apabila meraih jualan tiket RM10.3 juta dalam tempoh 17 hari ditayangkan.

Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai berkata, cuti hujung minggu yang panjang membolehkan peminat mengambil peluang menonton filem yang menggandingkan Remy Ishak dan Zul Ariffin itu.

“Kami jangka jumlah penonton dan kutipan meningkat berikutan esok adalah cuti umum sempena Hari Malaysia. Ini memberi peluang kepada peminat filem pergi ke pawagam.

“Terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh ini. Bukan hanya memeriahkan pawagam, siri jelajah bertemu peminat juga mendapat sambutan luar biasa,” katanya kepada BH Online.

Selain Zul dan Remy, filem arahan Kabir Bhatia yang menguasai pawagam sejak 29 Ogos itu menampilkan atlet profesional MMA, James ‘Sledgehammer’ McSweeney dan Mira Filzah.

Sangkar mencipta sejarah dalam industri perfileman apabila diterbitkan empat syarikat perfileman tempatan iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.

Sangkar yang menyentuh elemen persahabatan dan pengorbanan itu turut ditayangkan di negara jiran seperti Singapura dan Brunei.

Berita Harian X