Jumaat, 13 September 2019 | 9:03am
PENYANYI, Mamat Exists, ketika hadir pada sidang akhbar khas di Bangsar. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

'Kami tak kurung Mamat'

KUALA LUMPUR: Penganjur Exists Reunion, Shiraz Projects, memberi jaminan, Mamat, akan tetap beraksi pada kedua-dua konsert kumpulan berkenaan, masing-masing di Stadium Malawati, Shah Alam dan The Theatre At Mediacorp, Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shirazdeen Karim, berkata walaupun penyanyi itu terpalit kontroversi membabitkan isu dadah, mereka diyakinkan Mamat atau nama penuhnya Mohd Ali Kamaruddin, 41, takkan didakwa dalam masa terdekat.

“Polis memaklumkan, proses melengkapkan kertas siasatan akan mengambil masa dua atau tiga bulan. Ia bermakna Mamat masih mempunyai peluang untuk beraksi di Shah Alam pada 28 September ini dan Singapura, 5 Oktober depan.

“Kalau namanya konsert reunion, Mamat perlu ada. Tidak lengkap konsert gabungan semula jika Mamat tidak beraksi bersama.

“Saya boleh berikan jaminan, Mamat tetap akan membuat persembahan pada kedua-dua konsert itu nanti,” katanya pada sidang media di Bangsar, di sini.

Selepas dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis, Selasa lalu, Mamat terus dibawa ke ibu negara oleh penganjur bagi membolehkan penyanyi terbabit memberikan tumpuan terhadap persiapan konsert bakal dijayakannya.

Mengulas perkara itu, Shirazdeen berkata, mereka berbuat demikian bagi membantu Mamat, bukannya ‘mengurung’ artis terbabit dari dunia luar.

“Mamat antara penyanyi legenda. Kita kena bantu selepas apa yang berlaku terhadapnya. Kecaman atau kritikan takkan mengubah apa-apa.


MAMAT bersama Shirazdeen (kiri) dan anggota Exists yang lain pada sidang media khas di Bangsar. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

“Kita takkan mengurung Mamat, sebaliknya ia lebih kepada usaha memberikan perhatian terhadap dirinya. Lagipun, di sini ada ramai kawan yang boleh mengawasi pergerakannya,” ujarnya.

Baru-baru ini, BH Online melaporkan penahanan bekas vokalis kumpulan muzik terkemuka 1990-an ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru, kerana memiliki sejumlah dadah.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 41 tahun yang pernah memenangi tempat ketiga pertandingan realiti televisyen, empat tahun lalu, ditahan bersama seorang rakan, kira-kira jam 11.30 malam.

Difahamkan, suspek ditahan selepas polis peronda yang melakukan pemeriksaan menemui sejumlah dadah dipercayai syabu dalam pemilikan mereka.

Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah.

Berita Harian X