Rabu, 11 September 2019 | 4:22pm
PENYANYI, Datuk Jamal Abdillah, tidak sabar menunggu kelahiran cahaya mata ketiganya, bulan depan. - NSTP/Supian Ahmad

Jamal pilih Azura untuk bakal anak

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Jamal Abdullah, 60, memilih Azura Yamani sebagai nama cahaya mata ketiganya yang dijangka dilahirkan pada 5 Oktober depan.

Katanya, populariti filem Azura yang sentiasa diingati ramai sejak ditayangkan pada 1984 memberi impak besar terhadap kehidupan dan kerjayanya, sehingga hari ini.

"Apabila orang nampak saya, mereka jerit nama Azura. Begitu juga kalau saya mengadakan persembahan, lagu Azura juga yang dipinta peminat, sedangkan saya mempunyai banyak lagi dendangan lain.

"Boleh dikatakan, nama ini kuat 'melekat' di minda, membuatkan saya mengabadikannya untuk bayi perempuan kami nanti," katanya selepas pelancaran lagu duet bersama Wany Hasrita, Belenggu Rindu, di sini, hari ini.

Terdahulu, rumah tangga Jamal dengan Datin Zai Izatti Khiruddin, 25, yang dibina pada 1 April 2017 dilanda dugaan apabila isterinya keguguran sebanyak tiga kali.

Namun, Julai lalu, penyanyi Sepi Seorang Perindu itu mengumumkan bakal menerima kehadiran orang baharu selepas kandungan isterinya mencecah enam bulan.

Menerusi dua perkahwinan terdahulu, pemilik nama Jamal Ubaidillah itu dikurniakan dua putera, iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13 tahun.


Jamal Abdillah dan Wany Hasrita pada majlis pelancaran single duet Belenggu Rindu. - NSTP/Supian Ahmad

Katanya lagi, dia turut mengabadikan perkataan Yamani pada setiap nama anak bagi mengenang salasilah keluarganya yang mempunyai darah campuran Melayu dengan Yaman.

Berkongsi perasaan menantikan detik kelahiran si kecil, katanya, gementar dan takut bersilih ganti, malah dia sudah memaklumkan kepada isteri tidak dapat menemaninya ketika proses bersalin nanti.

"Saya memang tak boleh masuk ke bilik bersalin. Sejak anak sulung lagi, saya hanya tunggu di luar. Saya takut... Bukan pada darah, tetapi tak sanggup melihat proses kelahiran bayi.

"Keputusan tidak dapat menemaninya di dalam bilik bersalin juga sudah saya maklumkan kepada isteri. Mujur dia wanita yang sangat memahami," katanya lagi.

Pada waktu sama, Jamal turut memaklumkan mengidam lemang dan rendang ketika awal kehamilan isterinya, hingga sanggup mencari makanan berkenaan walaupun pada tengah malam.

"Saya pun pelik apabila boleh menghabiskan sebatang lemang, sedangkan sebelum ini saya tak gemar memakan pulut. Mujur juadah istimewa itu senang didapati biarpun bukan musim perayaan.

"Sebelum ini, saya tak sangka rasa mengidam boleh terkena pada saya. Kalau teringin, saya sanggup cari di mana-mana lokasi, pada bila-bila masa," kongsinya lagi.

Zai Izzati dijangka melahirkan bayi perempuan berkenaan di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor, yang juga berhampiran kediaman mereka.

Dedah Jamal, walaupun 13 tahun berlalu sejak kelahiran anak kedua, dia bersedia membantu isterinya menguruskan bayi kecil mereka, termasuk menukarkan lampin.

4605 dibaca
Berita Harian X