Rabu, 11 September 2019 | 2:14pm
SITI Fazurina ketika ditemui Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Siti Fazurina harap peluang baiki hubungan dengan suami

KUALA LUMPUR: Pelakon yang popular menerusi siri drama Dunia Anita, Siti Fazurina Mohd Famir, berharap peluang yang diberikan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, dapat membaiki hubungan antara beliau dan suaminya.

Perkara itu dimaklumkan Siti Fazurina, 36, selaku plaintif pada prosiding yang dilakukan di hadapan Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail, hari ini.

“Saya harap peluang diberikan ini membolehkan kami memperbaiki hubungan sebagai suami isteri,” katanya.

Terdahulu, ketika disoal Ahmad Muttaqi adakah dia masih ingin meneruskan permohonan perceraiannya, Siti Fazurina berkata, dia mahu diberi peluang kedua untuk cuba memperbaiki hubungannya dengan suami, Muhammad Hykal Zulkifli, 37, selaku defendan.

"Benda ini masih berlarutan tapi saya rasa nak beri peluang pada dia," katanya sebelum mahkamah mengarahkan prosiding kes itu diteruskan di dalam kamar hakim.

Sementara itu, Siti Fazurina memberitahu wartawan yang permohonan cerai yang difailkan pada Ogos lalu adalah kali ketiga apabila dua permohonan sama sebelum ini ditarik balik.

“Oleh demikian, untuk prosiding seterusnya saya menunggu panggilan dari mahkamah,” katanya yang enggan menjelaskan sama ada mahu menarik balik permohonan cerai kali ketiga itu.

Ketika ditanya mengenai sama ada beliau masih tinggal bersama suami, pelakon itu berkata mereka masih sebumbung dengan keluarga.

Terdahulu, Siti Fazurina mengenakan kurung merah dan suaminya, berbaju kemeja putih hadir pada sebutan kali pertama kes permohonan cerai itu.

Kes permohonan cerai itu difailkan mengikut Sekyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah persekutuan) 1984, Ogos lalu.

Kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.

Pasangan itu sebelum ini menimbulkan kontroversi selepas melangsungkan perkahwinan berwalikan bapa saudara tanpa pengetahuan keluarga yang diadakan di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember 2012.

Ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 63, mendedahkan perkahwinan itu tidak sah berikutan Siti Fazurina dipercayai memberi maklumat palsu kepada pejabat agama dengan mengatakan bahawa beliau anak tunggal sedangkan masih mempunyai dua adik lelaki kandung.

Siti Fazurina dan Hykal dinikahkan semula pada 20 Mac 2013 dengan diwalikan adik kandungnya.

Berita Harian X