Rabu, 11 September 2019 | 11:19am

Sharnaaz tenang, Nabila menangis

KUALA LUMPUR: "Fokus saya hanya hendak membesarkan anak dengan baik dan beri kasih sayang secukupnya."

Itu luahan Noor Nabila Mohd Noor sebaik selesai prosiding kes tuntutan cerai terhadap suami, pelakon Sharnaaz Ahmad, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, pagi tadi.

Sebak menahan emosi sehingga terhenti berkata-kata sewaktu dikerumuni wartawan, Nabila yang juga kakak kepada pelakon dan pengacara, Neelofa, memberitahu dia tidak bersedia memberi kenyataan mengenai kemelut rumah tangganya.

"Saya tak bersedia memberi kenyataan apa-apa lagi. Fokus saya hanya kepada anak (Jebat Jayden).

"Minta doa baik-baik dan semoga penyelesaian akan dicapai," katanya yang diwakili peguam, Azmi Rais.

Pada prosiding itu, mahkamah mengarahkan Sharnaaz dan Nabila melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes tuntutan cerai yang difaikan pada 27 Ogos lalu.

Perjumpaan untuk pelantikan JKP akan diadakan pada 30 September depan, di mahkamah sama.

Sementara itu, Sharnaaz yang tampak tenang, percaya niat mencari pendamaian dan penyelesaian terhadap masalah rumah tanggganya, akan dipermudahkan.


SHARNAAZ Ahmad ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Kenapa kalau kahwin elok-elok, takkan nak bercerai gaduh-gaduh.

"Soal reda atau tidak dalam hal ini, kita ada mahkamah... Kita perlu menghadapi benda itu. Jadi, apabila mahkamah perintah untuk melantik JKP, kita ikut saranan mereka.

"Kita cuba memperelokkan urusan sehabis baik," katanya.

Ditanya apakah dia masih berharap untuk menyelamatkan rumah tangganya, Sharnaaz berkata:

"Kita tengok sahaja bagaimana pengakhiran selepas pelantikan JKP sama ada (rumah tangga) dapat diselamatkan atau tidak," katanya yang diwakili peguam, Akhbar Din Abdul Kadir.

Tambah Sharnaaz, ketika ini, dia tidak ada masalah berjumpa anaknya.

Sementara itu, Akhbar Din berkata, soal tuntutan penjagaan anak hanya akan dikemukakan selepas selesai kes perceraian pasangan itu.

Kisah rumah tangga Sharnaaz dan Nabila kembali diperkatakan pada 29 Ogos lalu apabila sebuah portal menyiarkan artikel konon Nabila memfailkan perceraian terhadap pelakon filem Wangi itu.

Nabila difahamkan berbuat demikian apabila berkongsi sekeping foto dipercayai dirakam mahkamah sama, yang dimuat di Instagram Story.

Nabila juga dikatakan memuat naik status yang seolah-olah menguatkan lagi spekulasi mengenai keretakan hubungannya dengan suami.

Sharnaaz, 34, dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017.

40381 dibaca
SHARNAAZ Ahmad ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi. - Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X