Rabu, 11 September 2019 | 9:00am
AARON menyifatkan keterbukaan berkongsi perkara peribadi ‘membunuh’ keterujaan peminat mengikuti perkembangan artis. Foto Saadam Yusuf

Media sosial sekat industri hiburan berkembang - Aaron Aziz

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz menganggap, perkongsian berlebihan di media sosial menjadi antara faktor menyebabkan minat umum terhadap perkembangan industri hiburan semakin terhakis.

Aaron, 43, mengakui industri hiburan mempunyai ramai bakat pelapis yang berpotensi dan media sosial turut memainkan peranan dalam menentukan jatuh bangun perjalanan kerjaya mereka.

“Namun, apabila kita terlalu terbuka, terutama dalam berkongsi perkara peribadi membuatkan peminat tidak lagi ghairah mengikuti perkembangan terbaru.

“Situasi itu berbeza ketika saya mula bertapak dalam industri hiburan. Kami hanya sesekali dapat bertemu peminat dan apabila peluang itu datang, kami manfaatkan sebaiknya.

“Tetapi, sekarang semuanya hanya di hujung jari. Kita punya ramai bakat yang berpotensi melangkah jauh, namun banyak faktor sokongan lain yang membantu mereka bertahan.

“Sokongan peminat juga penting kerana tanpa mereka yang menjadi tulang belakang kekuatan, bakat dan keupayaan seseorang artis itu tidak akan ke mana,” katanya.

Pelakon kelahiran Singapura itu berkata, hampir dua dekad mencipta nama, dia bersyukur masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah untuk beraksi sebagai hero.

“Saya masih menerima tawaran membawakan watak lebih muda berbanding usia, tetapi terpaksa ditolak kerana bukan mudah menampakkan penampilan yang diminta. Takkan saya hendak bawa watak sama seperti dahulu.

“Biarpun tidak lagi kerap membawa watak besar, saya masih diberi kebebasan meneroka pelbagai karakter,” kata bintang Ombak Rindu dan KL Gangster itu.

Aaron yang pernah dua kali menjulang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) juga terharu, pengaruh yang dibinanya sebagai anak seni turut dimanfaatkan menerusi kerja amal bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah di negara kelahirannya.

“Saya bekerjasama dengan kerajaan Singapura membantu remaja yang terbabit dengan dadah. Selain memberikan sokongan moral, saya juga membantu mereka untuk bangkit memulakan hidup baharu,” katanya.

1375 dibaca
Berita Harian X