Selasa, 10 September 2019 | 3:00pm
GELAGAT pasangan selebriti, Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana, sebaik sahaja mereka sah bergelar suami isteri pada 1 September lalu. - NSTP/Aziah Azmee

Terlalu panik, Ardell rasa seperti tak mahu kahwin

KUALA LUMPUR: “Kalau ikutkan hati, saya memang nak lari sebelum perkahwinan berlangsung.”

Demikian kata pelakon, Ardell Aryana, yang menjadi bualan ramai rentetan reaksinya yang terketar-ketar ketika suaminya, Nadzmi Adhwa, hendak menyarungkan cincin ke jari manis pada majlis pernikahan mereka, 1 September lalu.

Reaksinya pada hari bahagia mereka itu mengundang pelbagai maklum balas warganet, dengan sebahagiannya mengecam konon ia dibuat-buat, manakala sesetengahnya berasakan ia sangat ‘comel’.

Ardell atau nama penuhnya Nurul Hidayah Mohd Amin menjelaskan, reaksinya bukan dibuat-buat, sebaliknya dia memang berdepan masalah kemurungan dan kebimbangan melampau, hingga diserang panik.


NADZMI mencium dahi Ardell selepas sah menjadi suami kepada pelakon terbabit. - NSTP/Aziah Azmee

“Ketika akad dilafazkan, saya rasa kehidupan ini berubah sepenuhnya. Pelbagai perkara berlegar di fikiran, saat itu. Saya macam tidak percaya sudah menjadi isteri orang.

“Saya memang ada masalah kebimbangan dan kemurungan teruk. Saya tidak boleh berdepan dengan ramai orang. Ia membuatkan saya berasa takut. Waktu itu, saya sendiri jadi keliru apabila gementar. Saya tak pasti sama ada nak marah atau sebaliknya.

“Sebelum akad nikah, saya menggeletar ketika bersiap. Ketika itu, saya memang rasa seperti tidak mahu kahwin sahaja. Saya sendiri tidak boleh membayangkan, bagaimana kalau serangan panik melanda ketika atas pelamin? Ternyata, saya memang sangat panik,” katanya.

Ujar Ardell, masyarakat tidak tahu apa sebenarnya berlaku, namun dengan cepat membuat telahan sendiri.

“Ada orang cop saya sebagai ‘minah gigil’, sakit parkinson dan cacat. Tidak kurang juga yang menyentuh isu malam pertama. Jujur, saya memang tertekan dengan semua itu.

“Hanya selepas dua hari kami bernikah, baru saya memberanikan diri untuk keluar rumah. Itupun selepas dipujuk suami,” katanya.

Kata Ardell, dugaan diterimanya tidak terhenti setakat di situ.

“Lebih memeritkan, ketika bersetuju untuk keluar makan di sebuah premis di Shah Alam, ada sekumpulan orang merakamkan kami berdua dari dalam kereta menggunakan telefon bimbit, sambil ketawa. Sampai begitu sekali sikap sesetengah manusia,” katanya.

Sementara itu, Nadzmi mengakui kasihan dan sedih melihat nasib isterinya yang dipersendakan.

“Dalam kegembiraan mendirikan masjid, saya sedih apabila hal sebegini terjadi. Jujurnya, saya tidak tak rela apabila isteri dihina.

“Dia bersedih beberapa hari selepas kami berkahwin. Bagi kami, apabila dipersenda dan ditertawakan, ia bukan perkara kelakar. Malah, ia menyerlahkan sikap buli siber dalam kalangan masyarakat kita,” kata Nadzmi.


ARDELL akui terlalu gementar pada majlis pernikahannya dengan pelakon, Nadzmi Adhwa, 1 September lalu. - NSTP/Aziah Azmee

Nadzmi menambah, mereka tidak pernah berniat untuk mencipta cerita sensasi sebegitu.

“Ketika di pelamin, saya cuba mengawal keadaan isteri yang panik. Apabila tenang, baru saya sarungkan cincin ke jari manisnya dengan perlahan-lahan.

“Memang ada jurugambar dan wartawan meminta kami memberikan pelbagai gaya, termasuk mencium dahi untuk mendapatkan gambar cantik. Tetapi, kami masih tebal dengan sikap malu, sekalipun hubungan sudah halal.

“Hakikatnya, mungkin ada yang tak faham, isteri begitu gementar. Apapun, terima kasih kepada semua yang mendoakan kami berdua. Kami juga mengucapkan Alhamdulillah bagi yang bercakap sebaliknya,” kata Nadzmi.

5513 dibaca
Berita Harian X