X
Ahad, 8 September 2019 | 2:34pm
SUFIAN tidak mahu penampilannya yang dikatakan selekeh dikaitkan dengan kisah lama. Foto Nurul Syazana Rose Razman
SUFIAN tidak mahu penampilannya yang dikatakan selekeh dikaitkan dengan kisah lama. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kritiklah tapi jangan sentuh kisah lama - Sufian Suhaimi

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sufian Suhaimi mengambil pendekatan memadam komen keterlaluan yang ditinggalkan seorang wanita di laman sosialnya bagi mengelakkan individu itu dikecam orang lain.

Sufian berkata, dia berbuat demikian kerana tidak sampai hati melihat individu yang jauh lebih berusia daripadanya berterusan menjadi mangsa kecaman selepas jawapan balasnya mendapat reaksi pengikutnya.

“Saya tiada masalah jika ada pihak mahu mengkritik penampilan atau perkara lain berkaitan diri, tetapi jangan ungkit kisah lama kerana saya sudah melupakannya.

“Sebelum ini, saya jarang menjawab komen yang ditinggalkan di laman sosial, tetapi tidak sangka pula jawapan saya membuatkan wanita itu dikecam. Tidak sampai hati melihat dia berterusan dikritik, saya ambil keputusan memadam komen itu.

“Saya sebenarnya tidak mahu memperbesarkan isu ini, tetapi saya perlu ingatkan, usah lagi mengungkit kisah lama. Saya sudah bangkit dan ada kehidupan sendiri, jadi tidak perlu lagi mengingati kisah lama,” katanya.

Terdahulu, penampilan penyanyi lagu Di Matamu itu yang agak tidak terurus selepas melakukan aktiviti menyelam ditegur seorang wanita yang mengharapkan Sufian meneruskan hidup tanpa terus dibayangi kisah lalu.

Wanita itu dalam komennya mempersoalkan, apakah Sufian sengaja menukar imejnya kerana kecewa dengan apa yang dilaluinya, selain dikatakan mahu membuat orang lain bersalah kerana penampilannya itu.

Sufian bagaimanapun, membalas komen itu dan memaklumkan, wanita terbabit tidak perlu risau dengan keadaannya kerana gambar itu dimuat naik diambil selepas dia selesai melakukan aktiviti menyelam.

Dalam komen itu, Sufian memaklumkan, dia sudah lama bangkit daripada kekecewaan dan perkataan rindu sebenarnya ditujukan kepada kawannya yang sedang terlantar di hospital. Komen balasnya membuatkan wanita itu ditertawa pengikutnya yang lain.

Sementara itu, berkongsi perkembangan kerjaya, Sufian berkata, dia teruja apabila diberi amanah untuk membuat persembahan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September ini.

“Saya bakal membuat persembahan bersama artis K-Pop yang masih dirahsiakan identitinya. Kebimbangan utama adalah untuk memastikan kolaborasi persembahan kami memberi impak kepada penonton.

“Cara dan penyampaian sebenarnya yang membuatkan saya risau, apatah lagi, saya perlu belajar dan menghafal lirik dalam bahasa Korea. Saya belum berkesempatan bertemu dengan rakan duet itu, namun sudah diberikan susunan lagu untuk persembahan kami nanti,” katanya.

Berita Harian X