Khamis, 5 September 2019 | 5:13pm
NADZMI terkilan aksi isterinya yang gementar ketika upacara membatalkan air sembahyang dipersenda warganet. Foto Aziah Azmee
NADZMI terkilan aksi isterinya yang gementar ketika upacara membatalkan air sembahyang dipersenda warganet. Foto Aziah Azmee

Henti hina isteri saya - Nadzmi Adhwa

KUALA LUMPUR: “Saya tidak kisah jika ada pihak yang membuat parodi, malah saya terima aksi kami ketika upacara menyarung cincin ke jari manis isteri dijadikan bahan ketawa.

“Tetapi, jangan hina isteri saya. Jangan gelar dia sebagai minah gigil, perempuan parkinson atau cacat hanya kerana berkelakuan seperti itu. Tolong jaga hati dan perasaannya,” kata pelakon, Nadzmi Adhwa.

Mengakui terguris dengan pelbagai kecaman dan gelaran yang diberikan warganet , Nadzmi berkata, isterinya, Ardell Aryana masih dalam proses pemulihan selepas berdepan masalah kemurungan dan kebimbangan melampau.

“Kami sangat gugup dan janggal apabila ramai yang memerhati ketika upacara membatalkan air sembahyang dilakukan.

“Situasi itu menyebabkan isteri saya diserang panik hingga tidak dapat mengawal perasaan gementar ketika saya mahu menyarung cincin.

“Semua perasaan bersatu apabila kami disahkan sebagai pasangan suami isteri. Lega, takut, gembira dan sedih bergabung menjadi satu, membuatkan kami gementar melangkah ke fasa baharu dalam hidup,” katanya.

Akur penjelasannya tidak mampu menghentikan pandangan negatif masyarakat, Nadzmi tidak menafikan, selama berkawan, mereka kerap berjumpa kerana menjalankan perniagaan bersama-sama.

“Perasaan ketika berkawan dan menjadi suami isteri sangat berbeza. Saya berharap sangat isu ini selesai selepas saya memberi penjelasan.

“Memang kami tidak mampu menghentikan kata-kata negatif warganet, tetapi saya berharap, semua pihak mendoakan yang baik-baik.

“Jangan timbulkan spekulasi dengan hanya melihat rakaman yang dikongsi di laman sosial. Saya mohon, jaga hati kami suami isteri dan keluarga,” katanya.

Terdahulu, aksi Ardell yang menggigil ketika upacara membatalkan air sembahyang pada hari pernikahan mereka, Ahad lalu mencetuskan perdebatan di laman sosial.

Pasangan itu dikatakan cuba berlakon kerana sebelum ini, kerap bertemu dan memuat naik video berdua di Instagram.

Berita Harian X