Isnin, 2 September 2019 | 8:00pm
ENOT bengang apabila sering diganggu mesej lucah. Foto Nurul Syazana Rose Razman
ENOT bengang apabila sering diganggu mesej lucah. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Enot 'naik hantu' dapat gambar lucah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Enot berang apabila menerima kiriman mesej dan gambar lucah daripada seorang lelaki menerusi nombor telefon perniagaannya.

Enot atau nama penuhnya Aliza Abdullah, 40, berkata, sudah lama lelaki itu mengganggunya, malah dia turut memberikan amaran, tetapi langsung tidak diendahkan.

“Pada mulanya, saya hanya abaikan mesej yang diterima, tetapi lama-kelamaan dia semakin menjadi-jadi. Selama seminggu, dia menghubungi saya.

“Apabila panggilannya tidak diangkat, dia cuba pula membuat panggilan video. Saya hilang sabar apabila dia bertindak keterlaluan dengan menghantar gambar lucah.

“Saya marah dan memberikan amaran, tetapi dia hanya ketawa. Dia langsung tidak peduli. Siapa yang tidak ‘naik hantu’ menerima mesej seperti itu, tambahan pula telefon bimbit saya dipegang anak,” katanya.

Ekoran terlalu berang, Enot bertindak membuat perkongsian di Instagram sebagai pengajaran, seterusnya berhasrat membuat laporan polis.

“Memandangkan saya masih di Sibu, Sarawak, saya hanya akan membuat laporan polis apabila tiba di ibu negara, esok. Saya tidak boleh bersabar lagi.

“Saya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab individu itu. Saya berharap dia dikenakan tindakan yang sepatutnya supaya perkara itu tidak berulang,” tegas Enot.

Berita Harian X