Ahad, 1 September 2019 | 11:00am
PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah, ketika hadir pada majlis pelancaran video muzik Starlela, baru-baru ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Bella jawab dakwaan popular selepas cerai

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, tampil membela diri apabila dituduh meraih populariti selepas berpisah dengan bekas suami, Aliff Aziz.

Tegas Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 25, andai dirinya dikenali selepas bercerai sekalipun, ia tidak membawa sebarang makna jika tak disokong oleh bakat.

"Hi. Akaun palsu ke ni? Ini semua rezeki Allah SWT. Kalau saya popular sebab itu (cerai) sekalipun, kalau tak ada bakat, tidak boleh juga.

"Semua ini juga rezeki anak saya. Semoga hati awak semakin bersih dan cakap pun yang baik-baik saja, ok," tulisnya.

Kakak kepada penyanyi, Didie Astillah, itu juga berkata, tiada siapa yang menginginkan perceraian apabila mendirikan rumah tangga.

"Siapa yang inginkan perceraian? Tiada siapa yang berkahwin untuk bercerai. Cuba tanya mak dan ayah kita. Tetapi, kadang-kadang semua (yang berlaku) sudah ditakdirkan dan kita reda dengan ketentuan-Nya," ujarnya.

Baru-baru ini, seorang individu yang dikatakan menggunakan akaun Instagram palsu, meninggalkan komen pada laman sosial Bella dengan mengatakan, wanita itu popular sejak dia diceraikan.

Rata-rata pengikut Bella kagum dengan sikapnya yang begitu positif dalam kehidupan dan ia dikatakan terserlah menerusi cara wanita itu membalas komen berkenaan.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Ayden, yang kini berusia dua tahun.

Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak bertahan lama apabila mereka sah bercerai pada 16 Mei lalu.

Berita Harian X