Selasa, 27 Ogos 2019 | 11:00am
FAZURA teruja buat kali pertama dapat meraikan ulang tahun kelahiran suaminya pada 14 September ini. Foto Nurul Shafina Jemenon

Tak sabar sambut ulang tahun berdua

PETALING JAYA: Hampir dua tahun hidup bersama, pelakon Nur Fazura Sharifuddin, mengakui teruja untuk meraikan ulang tahun kelahiran suaminya, Fattah Amin pada 14 September ini.

Tahun lalu, kata Fazura, 36, mereka terpaksa berjauhan pada hari jadi Fattah kerana dia berada di luar negara atas urusan kerja.

“Sepanjang berkenalan dan hampir dua tahun menjadi suami isteri, saya belum berpeluang meraikan Fattah pada hari ulang tahun kelahirannya kerana sibuk dengan kerja.

“Buat masa ini, saya belum ada sebarang perancangan pada hari istimewa itu. Kebetulan, saya juga bakal meraikan hari jadi pada bulan depan iaitu 27 September.

“Harapan saya, September ini membawa keberkatan dalam hidup kami berdua,” katanya yang ditemui pada sesi fotografi sempena promosi filem terbaru lakonannya, Dendam Pontianak, di sini.

Ditanya kemungkinan mereka bakal terbabit dalam projek filem bersama, bintang J Revolusi itu berkata, perkara itu masih pada peringkat perbincangan.

“Buat masa ini, saya belum bersedia untuk berkongsi butirannya, tetapi saya dan pihak pengurusan sudah berbincang mengenai perkara itu. Insya-Allah, ia akan berlaku tahun hadapan,” kata Fazura.

Sebelum ini, pasangan selebriti popular itu pernah ditemukan dalam drama rantaian, Hero Seorang Cinderella yang menyatukan mereka di jenjang pelamin.

Filem Dendam Pontianak edaran Primeworks Studios bakal menemui peminat di pawagam bermula 12 September ini.

Selain Fazura, ia turut menampilkan lakonan hebat Remy Ishak, Hisyam Hamid, Shenty Feliziana dan Namron.

Berita Harian X