Isnin, 26 Ogos 2019 | 4:30pm
SHIMA terharu usaha YKAT mendapatkan unit kediaman PPR untuk didiami bersama suami. Foto Mohamad Shahril Badri
SHIMA terharu usaha YKAT mendapatkan unit kediaman PPR untuk didiami bersama suami. Foto Mohamad Shahril Badri

Shima dapat rumah baharu

KUALA LUMPUR: “Saya berterima kasih dan terhutang budi kepada Pengerusi Yayasan Kebajikan Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave kerana berusaha mendapatkan unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk saya dan suami diami.

“Usahanya itu membantu meringankan beban saya yang hidup hanya bergantung kepada bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS),” kata Shima yang sebelum ini, menyewa sebuah pangsapuri di Damansara Damai, dekat sini, sejak enam tahun lalu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Setelah Aku Kau Miliki dan Teringin itu berkata, penyerahan kunci unit yang bakal didiaminya di Lembah Subang 2 itu akan disempurnakan dalam masa terdekat.

“Sepatutnya ia diserahkan petang ini, namun ditangguhkan atas sebab tidak dapat dielakkan. Saya sebenarnya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada DJ Dave yang berusaha membantu meringankan beban saya serta suami.

“Tetapi, saya memerlukan sedikit masa sebelum berpindah untuk menyediakan wang pendahuluan memasuki rumah itu,” kata pemilik nama lengkap, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman.

Julai lalu, Shima, 50, yang dikategorikan LZS sebagai golongan asnaf berhasrat mendapatkan rumah PPR dan berharap ada mana-mana pihak tampil membantunya.

Meskipun sudah bebas daripada penyakit misteri, Shima berkata, masalah sakit saraf dan tulang belakang yang ditanggung sejak 2013 membuatkan dia tidak dapat bergerak terlalu aktif.

Masalah itu juga menyebabkan dia terpaksa menutup perniagaan Warung Teringin sejak Mac lalu atas nasihat doktor supaya tidak berdiri terlalu lama.

“Sebelum ini, kesihatan saya merosot kerana berdiri terlalu lama untuk memasak. Selepas mendapatkan rawatan, doktor menasihatkan supaya saya banyak berehat dan tidak melakukan kerja berat.

“Sekarang, saya hidup hanya bergantung pada sumbangan LZS. Sekiranya ada jemputan menyanyi, saya akan cuba penuhi kerana ia tidak memerlukan saya berdiri terlalu lama. Saya tiada masalah untuk menyanyi,” katanya.

Berita Harian X