Rabu, 21 Ogos 2019 | 9:00am
PELAKON, Fadlan Hazim, enggan mengharapkan dunia lakonan semata-mata sebagai sumber pendapatan. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Fadlan tanam sayur demi masa depan

KUALA LUMPUR: Selain bidang seni, pelakon, Fadlan Hazim, 27, turut memilih untuk mengusahakan kebun sayur-sayuran sebagai jaminan masa depan.

Katanya, berikutan rezeki dalam lakonan tidak menentu, dia mengusahakan perniagaan berkenaan sejak dua tahun lalu, bersama keluarga.

“Tuah sebagai pelakon tidak menentu. Ada masanya, banyak tawaran yang diterima dan begitulah sebaliknya. Apatah lagi dengan kemunculan ramai bakat baharu, jadi kita memerlukan perancangan lain.

“Saya pula sudah dua tahun mengusahakan kebun sayur-sayuran bersama keluarga. Di kebun terbabit, kami mengusahakan tanaman seperti cili, kacang panjang, bendi, rambutan, durian dan madu tualang. Hasilnya kami jual di kedai berdekatan,” katanya kepada BH Online.

Katanya, kebun seluas 0.8 hektar di Hulu Langat, Selangor, itu diharap mampu menjamin masa depan diri dan keluarganya.

Dia juga berkata, dia dan kekasih, Julie Anne Kang, ingin mengembangkan perniagaan masing-masing terlebih dahulu sebelum menaiki pelamin.

“Saya anak sulung daripada empat beradik manakala emak pula ibu tunggal. Jadi, banyak perkara perlu diselesaikan sebelum saya berkahwin. Saya juga mahu selesaikan dahulu pengajian adik yang baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selepas itu, barulah saya boleh berasa lega,” katanya yang berharap dapat memikirkan soal rumah tangga pada tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Fadlan memberitahu, dia perlu menaikkan berat badan semata-mata untuk menjayakan watak pejuang dalam filem Sangkar.

“Sebagai seorang ‘fighter’, saya perlu menjaga pemakanan dan berulang-alik ke gimnasium untuk mendapatkan bentuk badan yang ideal. Daripada 72 kilogram (kg), saya naikkan berat sehingga 81 kg dalam masa enam hingga lapan bulan.

“Saya juga mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk berlatih seni pertahanan diri campuran atau ‘mixed martial arts’ (MMA). Saya mempunyai asas dalam taekwando, jadi pergerakan saya tidaklah nampak kosong.

“Menjayakan filem ini sememangnya cabaran besar, namun peluang sebegitu tidak selalu menjelma. Sebelum penggambaran, pihak produksi meminta saya membentuk tubuh terlebih dahulu. Apabila berjaya berbuat demikian, baru saya dapat lampu hijau daripada penerbit,” katanya.

Sangkar ialah filem aksi tempatan pertama mengetengahkan seni bela diri MMA.

Diterbitkan oleh Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment, filem arahan Kabir Bhatia itu akan mula menemui peminat pada 29 Ogos ini.

Selain Fadlan, ia juga dibintangi Zul Ariffin, Mira Filzah, Remy Ishak, Ray, Adam Mika, Aman Graseka, Carliff Carleel, Andy Teh dan peninju profesional MMA, James ‘Sledgehammer’ McSweeney.

Berita Harian X