Selasa, 20 Ogos 2019 | 1:00pm
SUFIAN enggan dirinya terbeban untuk ulangi pencapaian cemerlang Di Matamu. Foto Syakirah Azhar
SUFIAN enggan dirinya terbeban untuk ulangi pencapaian cemerlang Di Matamu. Foto Syakirah Azhar

Sufian tidak tertekan harapan tinggi peminat

KUALA LUMPUR: Pencapaian cemerlang Di Matamu tidak sesekali meletakkan Sufian Suhaimi dalam tekanan untuk mempertaruhkan lagu terbaru.

Sufian sebaliknya, melihat kejayaan lagu itu sebagai pembakar semangat menghasilkan karya lebih baik dan setanding Di Matamu.

“Saya tahu pasti ramai yang membandingkan lagu terbaru saya, Mencuba dengan Di Matamu, selain berharap ia mampu menandingi atau menyaingi populariti single terdahulu.

“Sebagai penyanyi, saya hanya mampu berkarya dan memberikan yang terbaik untuk dinilai peminat. Saya tidak membiarkan diri tertekan hanya kerana terdesak mahu mengulangi pencapaian Di Matamu.

“Semua itu terserah kepada rezeki. Bagi saya, Mencuba mempunyai kekuatan tersendiri, namun mungkin belum masanya untuk lagu itu mengulangi magis yang pernah dicipta Di Matamu,” katanya.

Tambah penyanyi kelahiran Mersing, Johor itu, impak sesebuah lagu itu barangkali lebih dirasai jika ia dekat dengan perjalanan hidup seseorang.

“Sebagai komposer dan penulis lirik, setiap lagu pasti mempunyai kaitan dengan perjalanan yang mereka lalui. Mungkin ia kisah hidup mereka atau pengalaman insan lain yang terdekat.

“Sudut itu memberi nilai tambah kepada sesebuah lagu kerana setiap komposisi umpama naskhah yang bercerita. Sesetengah pencipta terbuka berkongsi hidup mereka dengan khalayak, manakala sebahagian lagi lebih selesa menghasilkan karya berbentuk umum.

“Sebagai penyanyi, saya hanya melunaskan tanggungjawab yang diserahkan. Sama ada ia diterima atau sebaliknya, semua itu bergantung kepada rezeki,” katanya.

Bakal muncul dengan buku puisi, Senandika Sufian Suhaimi, Sufian bersyukur, usaha kerasnya membina nama berhasil apabila layak bersaing dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

“Seperti biasa, saya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada peminat. Saya tidak berani meletak harapan terlalu tinggi, terutama dalam persaingan membabitkan undian peminat.

“Setiap calon yang bersaing mempunyai kekuatan tersendiri. Secara peribadi, saya berbangga apabila kembali menjadi pilihan peminat untuk bersaing dalam kategori yang turut memperlihatkan nama besar seperti Faizal Tahir tersenarai,” katanya.

Berita Harian X