Khamis, 8 Ogos 2019 | 9:00am
PELAKON, Mira Filzah, antara bintang utama filem aksi, Sangkar. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Enam kali Mira 'tampar' Zul Ariffin

KUALA LUMPUR: Pelakon, Mira Filzah, mengaku enam kali menampar aktor bertubuh sasa, Zul Ariffin, bagi menghidupkan sebuah babak filem terbaru lakonan mereka, Sangkar.

Kata Mira yang turut dikenali sebagai pengacara, dia berbuat demikian kerana mengikut kehendak skrip naskhah yang bakal menemui penonton di pawagam mulai 29 Ogos depan.

“Saya memang betul-betul menampar Zul, bukan main-main. Begitupun, sudah tentulah saya melakukan semua itu atas keizinannya juga.

“Saya rasa, setakat tamparan saya, Zul takkan rasa apa-apa,” kata Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman berseloroh.

Menurut Mira lagi, dia cukup teruja dan seronok menjadi sebahagian daripada projek filem arahan Kabir Bhatia yang turut menampilkan Remy Ishak, Niezam Zaidi, Nik Adam Mika, Aman Graseka dan James McSweeney itu.

"Saya seronok dapat bekerjasama dengan Zul, Remy dan Kabir sepanjang penggambaran filem ini.

"Kabir sendiri seorang pengarah yang sangat teliti ketika bekerja, manakala Zul dan Remy pula pelakon profesional. Jadi, bekerja dengan mereka begitu memudahkan,” katanya.

PENGARAH, Kabir Bhatia dan pelakon, Zul Ariffin, ketika di lokasi filem Sangkar. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Sangkar turut melakar sejarah dalam industri perfileman tanah air apabila diterbitkan oleh empat syarikat perfileman tempatan, Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.

Filem menampilkan aksi seni bela diri campuran (MMA) ini mengisahkan seorang pemuda, Adam, lakonan Zul, ingin menebus kesalahannya terhadap Johan (Remy), yang cedera parah akibat perlawanan mereka di luar gelanggang.

Adam perlu bertarung dan memenangi pertandingan MMA bagi mendapatkan habuannya untuk membantu Johan sekeluarga.

Berita Harian X