Selasa, 6 Ogos 2019 | 11:00am
Azrel sentiasa menjaga amanah diberi penerbit dan produksi untuk terus bertahan dalam dunia seni. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Orang beri amanah, kita jaga'

KUALA LUMPUR: Jaga kepercayaan orang.

Itu pegangan pelakon, Azrel Ismail dalam memastikan dirinya terus dipilih penerbit ketika industri seni menyaksikan ramai bakat baharu lahir umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Calon awal kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 ini percaya amanah yang diberi harus dijaga.

“Saya jaga kepercayaan diberi melalui disiplin, tepati masa dan beri komitmen baik. Itu yang menjadi kunci hingga saya diberi peluang untuk terus mewarnai pentas lakonan dan menerajui sesebuah naskhah.

“Benar, pada akhirnya, naskhah lakonan yang dijayakan itu berbalik kepada tuah dan rezeki.

“Kadang-kadang ada drama berkualiti tapi tidak disiarkan di saluran atau waktu yang betul. Pada masa sama, ada drama yang tanpa diduga mampu meninggalkan impak besar,” katanya kepada BH Online.

Azrel berkata, dia sentiasa menganggap, projek yang ditawarkan baik drama atau filem, ada kualiti tersendiri.

“Saya pun bukan jenis ‘tangkap muat’. Saya akan terus berusaha berkongsi bakat... Rezeki itu ada di mana-mana,” katanya yang disokong kelab peminat, Azrel Nizers.

Azrel berkata, tumpuannya sekarang hanyalah kepada dunia seni.

“Setakat ini, soal hendak ceburi dunia perniagaan atau berkahwin, belum ada perancangan. Kalau ada, pasti saya akan maklumkan,” katanya.

Mengenai pencalonan dalam ABPBH 32, Azrel berharap dapat menembusi kelompok Top 5.

“Cuma saingan bukan calang-calang. Semua calon hendak jadi Top 5 dan jika ada rezeki, mahu menang,” katanya yang sudah enam tahun bergelar pelakon.

Mengenai perkembangan terbaru, Azrel sedang menyudahkan penggambaran drama Puteri Yang Ditukar yang menyaksikan dirinya memegang watak utama.

Drama itu dibintangi Elisya Sandha, Eyra Hazali, Julia Farhana Marin, Datuk Seri Eizlan Yusof, Edika Yusof dan Siti Elizad.

“Drama ini membabitkan 80 episod dan penggambaran dijangka berakhir, bulan hadapan,” katanya.

2092 dibaca
Berita Harian X