Selasa, 23 Julai 2019 | 9:00am
SHIMA terharu usaha YKAT membantu mendapatkan unit PPR untuk didiami. Foto Khairul Azhar Ahmad
SHIMA terharu usaha YKAT membantu mendapatkan unit PPR untuk didiami. Foto Khairul Azhar Ahmad

Usaha YKAT beri sinar baharu buat Shima, suami

KUALA LUMPUR: Penyanyi Shima menyifatkan, usaha Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) mendapatkan unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) memberikan sinar baharu dalam kehidupannya dan suami,

Shima yang dikategorikan sebagai asnaf oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), baru-baru ini, bagaimanapun masih menanti pihak terbabit menghubunginya untuk mendapatkan butiran peribadi, sebelum mengemukakan permohonan rasmi.

“Apabila YKAT menyuarakan hasrat menolong kami mendapatkan unit PPR pada kadar sewa lebih rendah, saya bersyukur sangat. Sebagai asnaf, hasrat diluahkan Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave itu seakan memberi sinar kepada saya dan suami,” katanya.

Berterima kasih atas usaha YKAT itu, Shima, 50, berkata dia kini menanggung kesakitan akibat masalah tulang belakang yang semakin kronik, selain ketiadaan sumber pendapatan menyebabkan dirinya buntu meneruskan hidup.

“Saya dan suami sudah tidak berniaga sejak Mac lalu kerana beberapa masalah, termasuk sakit slipped disc yang dihidapi sejak 2013 lagi. Ketika berniaga, saya terlalu banyak berdiri untuk memasak dan ia menyebabkan sakit saya semakin menjadi-jadi.

“Suami pula mempunyai masalah sakit pinggang dan keadaannya agak merisaukan. Dahulu, dia selalu mengangkut makanan dan barangan untuk jualan ke gerai. Sekarang memang saya buntu memikirkan cara membayar sewa rumah RM600 sebulan yang kami diami sejak enam tahun lalu,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki itu juga bersyukur, penderitaannya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, baru-baru ini.

“Dengan bantuan yang diberikan, dapat saya lunaskan sewa rumah bulan ini. Saya juga dalam proses permohonan mendapatkan bantuan LZS, namun masih perlu mendapatkan laporan kesihatan dari hospital bagi tujuan pengesahan.

“Saya sebenarnya baru pulang dari hospital untuk pemeriksaan dan mendapatkan pil penahan sakit, selain surat pengesahan doktor. Sepatutnya, setiap bulan saya perlu ke hospital untuk pemeriksaan, tetapi sejak beberapa bulan lalu, ia terpaksa ditangguhkan.

“Apabila sakit saraf semakin menjadi-jadi, saya gagahkan diri ke hospital. Kalau memikirkan kos, memang membebankan kerana saya tiada punca pendapatan, manakala duit simpanan sudah habis.

“Ikutkan ada tiga cara, termasuk pembedahan, namun risikonya 50-50. Buat masa ini, saya makan ubat tahan sakit dahulu dan saya berharap dapat menyanyi lagi untuk mencari rezeki,” katanya.

Berita Harian X