Ahad, 14 Julai 2019 | 9:00am
PELAKON, Aprena Manrose, mengaku gementar untuk menjayakan watak Saloma dalam filem Showtime 1958. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Aprena Manrose, mengaku gementar untuk menjayakan watak Saloma dalam filem Showtime 1958. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Aprena gementar jadi Saloma

KUALA LUMPUR: Pelakon, Aprena Manrose, mengaku cuak apabila ditawarkan peluang melakonkan watak Biduanita Negara, Puan Sri Saloma, dalam filem Showtime 1958.

Katanya, walaupun babak menampilkan dirinya tidak banyak dalam karya arahan Dr Anwardi Jamil berkenaan, dia tetap gementar untuk menghidupkan watak ikonik dunia hiburan tanah itu.

“Saya hanya muncul dalam beberapa babak menerusi filem ini. Antaranya, babak memerlukan kehadiran Saloma pada acara pertandingan ratu kebaya.

“Biarpun tidak banyak menuturkan dialog, saya tetap perlu menunjukkan bahasa tubuh yang betul,” kata anak kepada penyanyi dangdut, Iwan, dan pelakon, Allahyarham Rosnah Mohd Noor ini.

Menganggap peluang keemasan berkenaan sebagai detik cukup manis buatnya sebagai anak seni, Aprena berkata, dia mencabar diri sendiri apabila bersetuju melakonkan watak terbabit.

Aprena di samping pelakon filem Showtime 1958. - Ihsan Aprena Manrose
Aprena di samping pelakon filem Showtime 1958. - Ihsan Aprena Manrose

“Saya banyak menonton video lama lakonan Saloma sebelum masuk ke lokasi. Malah, saya juga turut menonton cara Nabila Huda membawakan watak sama ketika menjayakan sebuah telefilem,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis tahlil untuk arwah ibunya, di sini.

Ujar Aprena, dia berhutang budi pada produksi filem itu apabila membenarkannya untuk tidak bergaya seksi menerusi naskhah terbabit.

“Alhamdulillah, atas budi bicara, pihak produksi boleh bertolak ansur dengan permintaan saya untuk tidak mengenakan pakaian mencolok mata. Dalam satu babak, gaya seksi saya ditutup dengan selendang,” katanya yang juga tidak perlu melakonkan babak merokok dalam filem itu.

Showtime 1958 yang turut dilakonkan oleh Shah Iskandar, Amai Kamaruddin, Fatin Afifah, Josiah Lim, Bell Ngasri, Mubarak Majid dan Yna Rose Noah adalah hasil terbitan Nafalia Corporation dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Penggambaran filem berkenaan dimulakan pada 17 Jun lalu dan dijangka menemui penonton pada tahun depan.

Berita Harian X