Rabu, 10 Julai 2019 | 9:00am
PELAKON dan pengacara, Ain Edruce, teruja untuk memiliki keluarga sendiri. - Foto IG Ain Edruce

Cakap besar 'makan diri' - Ain Edruce

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ain Edruce, menerima dengan hati terbuka apabila perkenalan di Instagram membawa dirinya dan Amirul Hafiz melangkah ke alam pertunangan.

Sedangkan, pada awalnya Ain, 27, yang turut dikenali sebagai pengacara, ragu-ragu dengan jalinan cinta di laman sosial.

“Saya sendiri masih tidak menyangka jodoh datang daripada Instagram. Ia memang sesuatu yang pelik bagi saya. Namun, jika sudah dinamakan jodoh, ia tetap berlaku juga.

“Sebelum ini, saya memang bersikap skeptikal untuk mencari kekasih atau jodoh di laman sosial. Pelbagai perkara bermain di minda. Apakah saya boleh percayakan hubungan sedemikian dan apakah ia tidak berbahaya?

“Apatah lagi apabila kawan saya sendiri bertemu kekasih lebih muda daripada mereka di laman sosial. Namun, semuanya bagai tersusun cantik buat saya. Bukan sekadar menemui kekasih dan bakal suami di Instagram, Amirul juga nampaknya dua tahun lebih muda daripada saya,” kata pelakon drama Kekasih Paksa Reka itu.

Menurut Ain juga, semua pengalaman berkenaan turut menjadi pengajaran buat dirinya supaya tidak terlalu bercakap besar kerana ia akhirnya ‘memakan diri’.

Ain dan Amirul bertunang pada 22 Jun lalu selepas lebih setahun berkenalan di Instagram. Mereka bakal disatukan sebagai suami isteri pada 13 Disember depan.


AIN bertunang dengan pilihan hatinya, Amirul Hafiz, pada 22 Jun lalu. - Foto IG Ain Edruce

Mengenai perancangan untuk menamatkan zaman bujang ketika namanya mula meniti di bibir peminat, pengacara MBuzz dan Pop Express itu sekali-kali tidak menyesali keputusan diambilnya.

"Ramai yang cakap, rezeki kita akan bertambah apabila mendirikan masjid. Jadi, saya anggap fasa baharu yang akan saya lalui kelak sebagai bonus.

“Saya juga tidak menganggap status sebagai isteri sebagai penghalang untuk terus mencari rezeki dan meluaskan pengaruh jenama sendiri," katanya.

Malah, Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce berkata, dia tidak sabar untuk menjadi isteri dan mempunyai keluarga sendiri.

“Selama ini, saya hanya melihat pengalaman sedemikian dinikmati oleh abang dan kakak yang sudah mendirikan rumah tangga. Tidak lama lagi, saya sendiri bakal menempuh situasi sama,” katanya.

Berita Harian X