Isnin, 8 Julai 2019 | 1:00pm
DIANA mengakui ujian dalam rumah tangganya dengan Farid Kamil membuatkan dia semakin kuat berhadapan dugaan. Foto Nurul Shafina Jemenon
DIANA mengakui ujian dalam rumah tangganya dengan Farid Kamil membuatkan dia semakin kuat berhadapan dugaan. Foto Nurul Shafina Jemenon

Kurus bukan kerana pendam rasa - Diana Danielle

KUALA LUMPUR: Tubuhnya yang semakin kurus membuatkan ramai beranggapan, Datin Diana Danielle memendam rasa kerana terlalu bersedih dengan ujian berat yang melanda kehidupannya, baru-baru ini.

Bagaikan cuba menyembunyi kesedihan itu dengan senyuman, isteri kepada Datuk Farid Kamil bagaimanapun, menepis andaian ramai apabila masih teguh meneruskan hidup bersama dua anak yang bergantung harap kepadanya.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Hanyut pada Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM29) itu berkata, kemelut yang dilaluinya dan suami membuatkan dia semakin kuat berhadapan dengan dugaan.

“Ramai orang cakap saya kurus kerana bersedih. Tetapi, sebenarnya tidak. Apa juga yang berlaku dalam hidup ini perlu dijadikan iktibar.

“Berat badan saya turun disebabkan banyak perkara diuruskan sendiri, terutama membabitkan soal perniagaan. Saya mengusahakan produk kecantikan yang dijual secara atas talian, sejak enam bulan lalu.

“Mulanya, saya hanya suka-suka menghasilkan produk untuk kegunaan sendiri dan kawan-kawan. Tidak sangka pula, produk yang menggunakan jenama Organika itu mendapat permintaan besar hingga saya tidak menang tangan pada Ramadan lalu,” katanya.

Terdahulu, Farid pada 19 Jun lalu, dibenarkan menangguhkan hukuman penjara sembilan bulan, selepas menjalani hukuman selama 35 hari, sejak 15 Mei lalu.

Diana berkata, disebabkan perniagaan itu juga, dia kurang tidur selama berbulan-bulan untuk mencipta formula terbaik supaya diterima ramai.

“Semuanya saya buat sendiri, mujur perniagaan ini diusahakan di rumah. Saya sangat teliti dari segi bau, bungkusan dan pemilihan warna produk. Sepanjang sembilan bulan pertama, saya tidak ambil sebarang tawaran berlakon untuk memberi tumpuan kepada perniagaan,” katanya.

Kali terakhir muncul dengan filem Gol & Gincu Vol 2, tahun lalu, Diana bersyukur ketika berdepan ujian, dia menerima tawaran membintangi drama Ombak Rindu arahan Osman Ali untuk saluran Iflix.

Dalam drama itu, Diana membawakan watak Mila Amylia yang pernah dilakonkan Lisa Surihani, manakala watak Hariz dipegang Remy Ishak dan Izara Aishah menjadi Izzah.

“Ombak Rindu adalah karya yang besar dan dinanti ramai, tetapi kali ini, ia ditampilkan versi baharu. Saya harus mengekalkan karakter Mila yang dibawakan Lisa, namun cabaran kali ini berbeza.

“Mila sudah memiliki anak hasil perkahwinan dengan Hariz, namun suaminya tetap setia dengan Izzah, biarpun perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

“Kebahagiaan rumah tangga Hariz dan Izzah terganggu, namun bukan Mila yang menjadi puncanya. Di situ, berlaku konflik yang menguatkan lagi perjalanan cerita itu,” katanya.

Berita Harian X