Khamis, 27 Jun 2019 | 1:00pm
BLACK semakin serius menyusun perancangan masa depan apabila bakal membuka studio rakaman Ogos ini. Foto Zulfadhli Zulkifli
BLACK semakin serius menyusun perancangan masa depan apabila bakal membuka studio rakaman Ogos ini. Foto Zulfadhli Zulkifli

Black buka studio untuk persediaan masa depan

KAJANG: Penyanyi Black Hanifah mengorak langkah dengan mengusahakan studio rakaman yang bakal beroperasi Ogos ini sebagai persediaan masa depan.

Black berkata, Nyawa Black Studio yang dibuka di USJ, Subang Jaya itu juga akan menjadi pusat sehenti untuk kerja rakaman, vokal dan tarian.

“Buat masa ini, kami masih dalam proses pengubahsuaian, selain menunggu kerja pembaikan dan penambahan peralatan baharu.

“Jika tiada aral, ia mungkin dibuka sepenuhnya akhir bulan depan atau selewat-lewatnya Ogos ini. Saya tidak mahu buat sekadar siap, sebaliknya berharap dapat memenuhi semua keperluan, termasuk studio rakaman.

“Saya dibantu mereka yang berpengalaman seperti penggubah muzik, Johan John bagi memastikan operasi studio ini dapat memenuhi permintaan,” katanya.

Pada masa sama, Nyawa Black Studio juga bakal dijadikan pusat operasi untuk syarikat pengurusan label miliknya, Nyawa Black Music yang dimulakan sejak 2017.

Biarpun sibuk menguruskan perniagaan yang masih bertatih, pemilik nama penuh Hanifah Md Hanafiah, 31, tetap turun padang memenuhi tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Dilantik sebagai ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersama Aiman Tino, Ismail Izzani, Tomok dan empat selebriti lain, Black berkata, pembabitannya sebagai ‘suara’ agensi berkenaan dilakukan secara sukarela.

Black berkata, dia sudah bersedia menggalas amanah dengan mengingatkan golongan muda bahaya pengambilan bahan terlarang itu, sama ada menerusi laman sosial atau secara turun padang.

Berita Harian X