Khamis, 20 Jun 2019 | 5:31pm
ANAK kedua Daus, Nuha masih dirawat di ICU kerana jangkitan kuman pada paru-paru. Foto IG Daus Drama Band
ANAK kedua Daus, Nuha masih dirawat di ICU kerana jangkitan kuman pada paru-paru. Foto IG Daus Drama Band

Tak sampai hati lihat Nuha tanggung sakit - Daus

KUALA LUMPUR: “Dia terlalu kecil untuk menanggung kesakitan ini. Saya dan isteri jadi tidak keruan melihat dia berhadapan uji berat sebegini.

“Namun, kami yakin, dia anak yang kuat. Kami berdoa Allah hadirkan keajaiban untuk melihat dia kembali sihat,” kata pemain bass kumpulan Drama Band, Daus mengenai keadaan anaknya, Nurul Adni Nuha yang mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Daus atau nama sebenarnya, Mohd Nor Firdaus Abu Bakar, 30, berkata keadaan anaknya yang berusia dua bulan itu masih belum stabil dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang.

“Buat masa ini, dia masih memerlukan bantuan oksigen dan antibiotik untuk melawan virus serta kuman yang menyebabkan sistem pernafasannya terganggu.

“Besar harapan kami untuk melihat dia kembali pulih kerana ketika dilahirkan Nuha sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan,” katanya.

Daus berkata, kesihatan Nuha mula terganggu pada 16 Jun lalu apabila dia tiba-tiba demam dan batuk hingga menyukarkannya bernafas.

“Melihat keadaan Nuha yang semakin lemah, kami membawanya ke hospital dan dia ditempatkan di zon kritikal Hospital Serdang. Doktor sudah melakukan pelbagai usaha untuk membolehkan Nuha kembali bernafas secara normal.

“Dia bagaimanapun, dipindahkan ke wad ICU apabila disahkan ada jangkitan kuman dalam paru-paru. Nuha masih bergantung kepada bantuan alat pernafasan, namun doktor berhasrat mencabut kerana mahu melihat bagaimana perkembangan kesihatannya selepas itu,” katanya.

Daus mendirikan rumah tangga dengan Nurul Aswani Zain pada 15 Mei 2015. Selain Nuha, mereka turut dikurniakan anak lelaki, Muhammad Na’im Irfan yang kini berusia tiga tahun.

Berita Harian X