Isnin, 17 Jun 2019 | 4:19pm
TIDAK peduli apa pandangan orang, Aliff akur hanya Bella yang mengenali baik dan buruk dirinya. Foto IG Bella Astillah/Aliff Aziz
TIDAK peduli apa pandangan orang, Aliff akur hanya Bella yang mengenali baik dan buruk dirinya. Foto IG Bella Astillah/Aliff Aziz

Aliff Aziz beri bayangan mahu rujuk semula

KUALA LUMPUR: Selepas sebulan bercerai, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz mengimbau saat ketika dia dan bekas isterinya, Bella Astillah diijabkabulkan pada 9 September 2016 menerusi satu paparan di Instagram, semalam.

Menerusi perkongsian itu, Aliff meluahkan perasaan seolah-olah menyesali setiap perbuatannya yang mengguris hati bekas isterinya.

“Itu adalah hari yang paling magis dalam hidup saya apabila Allah menjodohkan saya dengan wanita yang sangat hebat untuk berkongsi hidup.

“Sepanjang melalui pelbagai suka dan duka, jatuh dan bangun, dia (Bella) sentiasa berada di sisi. Kalaulah saya mampu memutarkan masa, ada banyak perkara yang saya mahu buat dengan lebih baik dan berbeza.

“Tetapi, inilah contoh apabila kita mengambil mudah dan tidak bersyukur dengan kurniaan Allah. Apabila masa tiba, Dia akan tunjukkan apa yang sudah kita lakukan pada diri. Ketika itu, baru kita sedar kesilapan yang sudah dilakukan,” katanya.

Menerusi perkongsian itu, Aliff turut menitipkan penghargaan dan berterima kasih kepada Bella yang sentiasa memberi sepenuh jiwa ketika mereka masih bersama sebagai suami isteri dahulu.

“Awak sentiasa beri yang terbaik sejak hari pertama kita berkenalan. Awak sentiasa berada di sisi ketika saya berada di atas mahupun di bawah.

“Terima kasih kerana melahirkan seorang anak lelaki yang sangat bijak, Ayden Adrean sebagai tanda cinta kita.

“Saya perlu memperbetulkan perhubungan diri dengan Allah kerana Dia sebaik-baik perancang yang boleh mengubah hati kita. Saya harap awak sekeluarga selalu dilindungi dan dirahmati,” luahnya.

Sementara itu, Aliff berkata, dia tahu perkongsian itu akan mendapat perhatian ramai, namun berbuat demikian bukan kerana mahu meraih simpati mana-mana pihak.

“Saya mungkin bukan yang terbaik sebelum ini, tetapi insya-Allah, jika Allah menghendaki kita bersama, saya akan menjadi suami dan ayah terbaik.

“Jodoh pertemuan di tangan Allah. Apa-apa pandangan yang diberi, hanya awak yang tahu siapa saya,” katanya.

Perkongsian itu membuatkan warganet beranggapan, Aliff sudah menyesal dengan kesilapannya dan berdoa supaya mereka pasangan itu bersatu kembali demi anak lelaki.

Bagaimanapun, segelintir warganet menentang keras kerana bimbang Bella akan terluka lagi dengan sikap bekas suaminya itu.

Aliff dan Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah berpisah pada 16 Mei lalu selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka dikurniakan seorang putera, Ayden Adrean, yang kini berusia dua tahun.

Akhir Februari lalu, Aliff mencetuskan kontroversi apabila dikatakan menjalin hubungan dengan pelakon, Oktovia Manrose, termasuk ke pusat hiburan bersama-sama.

Terdahulu, artis berusia 28 tahun itu terheret dalam kontroversi pada Julai 2017 apabila dikatakan menjalinkan hubungan dengan pelakon, Afifah Nasir. Bella bagaimanapun memaafkan perbuatan suaminya dan berusaha membuka buku baharu.

Berita Harian X