Sabtu, 8 Jun 2019 | 8:08pm
BEKAS personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim dan suami, Fairos Khan Abdul Hamid, bersyukur apabila rumah tangga mereka bakal diserikan dengan kehadiran cahaya mata. - Foto ihsan Azrinaz Mazhar Hakim

Azrinaz hamil enam bulan

KUALA LUMPUR: Mengambil keberkatan Syawal keempat, Azrinaz Mazhar Hakim, 39, mengumumkan dirinya kini hamil enam bulan di laman Instagram rasminya, sebentar tadi.

Kata bekas personaliti televisyen itu, dia bersyukur kerana diberikan peluang untuk hamil sekali lagi, seterusnya bakal menimang cahaya mata ketiga.

“Seperti pasangan lain yang mengharapkan khabar gembira ini, saya dan suami juga tidak terkecuali. Jadi, bersama keberkatan Syawal yang sedang dirai, saya berkongsi berita gembira ini bersama semua.

“Saya memilih untuk mengumumkan kehamilan, sekarang, kerana enggan menggembar-gemburkannya terlalu awal.

“Saya dan suami amat bersyukur dengan rezeki yang menyebelahi kami. Berkat doa ibu bapa, sahabat handai dan anda semua yang amat saya sayangi, Allah memberikan saya peluang untuk mempunyai zuriat buat kali ketiga,” katanya kepada BH Online.

AZRINAZ mengumumkan dirinya sedang hamil enam bulan menerusi Instagramnya, hari ini.

Ujar Azrinaz, tiada apa lagi yang diharapkan dirinya dan suami selain zuriat dalam kandungan dilahirkan sempurna.

“Saya diberikan rezeki untuk hamil secara normal. Begitupun saya akui, untuk berbadan dua pada usia yang bukan lagi remaja, ia tidaklah semudah 11 tahun yang lalu.

“Harapan saya kini semoga kandungan berusia enam bulan ini akan terus dititipkan dalam doa kalian. Semoga bayi ini dilahirkan sempurna, cukup sifat, sihat dan secara normal tanpa sebarang komplikasi,” katanya lagi.

Azrinaz melangsungkan perkahwinan dengan teman lama, Fairos Khan Abdul Hamid, 43, pada 1 Mei tahun lalu.

PASANGAN bahagia, Azrinaz dan Fairos, berharap cahaya mata mereka nanti dilahirkan sempurna serta sihat. - Foto ihsan Azrinaz Mazhar Hakim

Sebelum ini, Azrinaz yang juga penulis kolum di BH dan suami sama-sama bertugas di TV3, namun mula rapat sejak lebih setahun lalu.

Pasangan yang bernikah secara tertutup itu memilih Palestin sebagai destinasi bulan madu mereka pada Ramadan tahun lalu.

Berita Harian X