Isnin, 3 Jun 2019 | 9:00am
Syafie dan tunangnya, Aishah lebih mengutamakan keperluan keluarga dalam menyambut Aidilfitri. Foto NSTP Rohanis Shukri

Syafie jadi 'kepala dapur'

KUALA LUMPUR: Dalam diam, Syafie Naswip, 27, sebenarnya handal di dapur.

Buktinya, setiap kali tibanya 1 Syawal, juadah air tangannya dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah.

Akui Syafie, hobi suka menolong ibu memasak menjadi faktor dia mempraktikkan segala dipelajari hingga mampu menyediakan hidangan dalam kuantiti besar.

“Sebenarnya, saya tidaklah pakar seperti emak. Namun, disebabkan minat, saya rajin masuk dapur terutama menjelang hari raya.

“Kebiasaannya, sehari sebelum hari raya memang paling sibuk. Ini kerana pada waktu itu, saya menyediakan beberapa jenis masakan termasuk ayam masak merah dan rendang daging.

“Ini rutin saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya mahu emak tumpukan perhatian kepada keperluan rumah yang lain.

“Sejak saya lahir, emak sudah memasak untuk kami. Jadi biarlah saya dan adik saja yang jadi ‘kepala dapur’. Hari lain, emak tak lekang di dapur,” katanya kepada BH Online.

Seperti biasa, Syafie atau nama penuhnya, Mohammad Syafie Naswip memberitahu, mereka sekeluarga meraikan lebaran di Negeri Sembilan.

Ditanya persediaan meraikan Syawal bersama tunang yang juga pelakon, Aishah Azman, Syafie berkata, tiada yang berbeza kerana persiapan ibu bapa lebih diutamakan.

Tambahan pula, sejak dulu, dia sudah biasa berbelanja sederhana termasuk ketika menyambut perayaan.

Akuinya, langkah menuju ke alam rumah tangga turut membuatkan dirinya lebih berhemah dengan melebihkan simpanan.

Syafie dan Aishah yang menjalin hubungan cinta sejak setahun lalu, mengikat pertunangan, April lalu.

Berita Harian X