Sabtu, 1 Jun 2019 | 9:00am
AYAH Liza disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat sejak awal April lalu. Foto IG Liza Hanim

Doakan ayah kuat lawan kanser - Liza Hanim

KUALA LUMPUR: Ketika kesedihan dengan berita pemergian bapa mentua, Mohamed Samsudin Tahir pada 9 Mei lalu masih terasa, penyanyi Liza Hanim sekali lagi berhadapan ujian berat apabila bapanya disahkan menghidap kanser paru-paru.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Ku Idamkan Rindu itu berkata, bapanya disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat selepas membuat pemeriksaan sejak awal April lalu.

“Sebelum ini, hampir empat bulan ayah mengadu selalu sakit tengkuk. Pada mulanya, kami ingat ayah hanya mengalami sakit otot. Namun, selepas melakukan imbasan, ayah disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

“Berita ini cukup menyedihkan kami. Namun, saya percaya ayah kuat untuk melawan penyakitnya. Doa kami akan sentiasa bersamanya.

“Saya juga berharap orang ramai dapat mendoakan supaya ayah diberi kesembuhan, kekuatan dan semangat untuk melawan sakit. Saya yakin ayah sangat tabah dan sabar dengan dugaan yang datang,” katanya kepada BH Online.

Menurut Liza atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim, ayahnya baru menyambut ulang tahun yang ke-73 pada 11 Mei lalu.

“Kami sempat meraikan ulang tahun kelahirannya beramai-ramai. Tetapi, tiga hari selepas itu, ayah diserang strok pula dan terpaksa menerima rawatan di hospital,” katanya.

Liza berkata, bapanya kini masih menjalani rawatan di sebuah hospital di ibu negara.

Berita Harian X