Jumaat, 31 Mei 2019 | 3:00pm
MIRA elakkan diri daripada terus terikat dengan Remy Ishak kerana gusar peminat bosan. Foto Saifulizan Tamadi

Mira Filzah 'berhenti' sebelum peminat bosan

KUALA LUMPUR: Meskipun ramai yang menyukai gandingannya bersama Remy Ishak, Mira Filzah seboleh mungkin tidak mahu terus terikat dengan pelakon lelaki itu.

Selepas bergandingan dalam dua drama, Lelaki Kiriman Tuhan dan Pujaan Hati Kanda, Mira berkata, tiba masa untuk mereka berehat seketika untuk mencari angin baharu.

Mira berkata, pendirian itu diambil kerana dia tidak mahu peminat jelak melihat gandingan mereka di skrin televisyen.

“Rasanya sebelum ini, Remy turut membuat kenyataan yang sama dan saya senada dengannya. Walaupun ramai yang suka, saya tidak mahu penonton bosan apabila kami terlalu kerap bergandingan.

“Memang tidak mudah mencari keserasian, tetapi jika terlalu kerap, lama-kelamaan peminat pasti mahukan kelainan. Namun, sebagai mengubat rindu peminat, kami akan tampil bergandingan dalam Pujaan Hati Kanda Raya,” katanya.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Cinta Si Wedding Planner itu berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan mana-mana pelakon, malah tidak memilih sama ada mereka senior atau baharu.

“Saya tidak mempunyai pelakon pilihan tertentu untuk digandingkan, sebaliknya menyerahkan kepada pengarah. Saya terbuka dalam hal ini kerana percaya, setiap pelakon pasti ada kelebihan masing-masing.

“Jika kita saling memberi dalam menjayakan watak, insya-Allah hasilnya akan menjadi yang terbaik,” kata Mira.

Selain berlakon, Mira juga sibuk dengan tugasnya sebagai pengacara Nona.

Berita Harian X