Khamis, 30 Mei 2019 | 4:08pm
AYU dan Aiman masih berusaha menyelamatkan rumah tangga mereka yang dilanda badai pada November lalu. Foto Khairul Azhar Ahmad

Saya masih isteri Aiman - Ayu Puteh

SHAH ALAM: Penerbit Datuk Normashayu Puteh, 42, atau Ayu Puteh mengakui, dia dan suaminya, Aiman Ismail, 30, sedang berusaha memperbaiki rumah tangga mereka yang dilanda badai sejak tahun lalu.

Pemilik syarikat produksi, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd itu bersyukur, suaminya yang sebelum ini keluar rumah sudah kembali ke pangkuannya, sekali gus memberikan mereka ruang untuk memperbetulkan kesilapan masing-masing.

“Saya masih isteri Aiman dan kami kini kembali tinggal sebumbung. Apa yang berlaku dahulu memberikan ruang untuk kami menilai diri dan melihat kekurangan masing-masing.

“Ia memang tidak mudah, tetapi saya sudah melalui pelbagai pengalaman hidup. Jika usaha ini menuju ke arah kebaikan, Alhamdulillah. Jika ia menuju ke arah sebaliknya, saya perlu mencari jalan untuk membawanya kembali ke arah kebaikan,” katanya.

Ayu yang ditemui pada majlis pelancaran filem, Ada Apa Dengan Dosa, di sini, menyifatkan pergolakan rumah tangga mereka sebagai ujian ketika dia sedang menyiapkan filem yang berkonsep keagamaan itu.

Akuinya lagi, perselisihan faham itu juga timbul, mungkin berpunca daripada suaminya yang masih muda dan belum matang membuat keputusan.

“Ketika saya sedang berusaha menyelesaikan beberapa isu berkaitan filem ini, rumah tangga saya pula dilanda badai. Saya terima hakikat, suami masih muda dan tidak matang.

“Saya tidak mahu mengenang lagi apa yang berlaku dan biarkan perkara itu berlalu. Saya tidak boleh terbawa-bawa dengan emosi kerana nanti ia memberi kesan kepada kehidupan saya dan anak,” katanya.

November lalu, rumah tangga pasangan yang dibina pada Januari 2017 itu bergolak apabila Aiman memuat naik foto, mendakwa perkahwinan mereka diganggu kehadiran pihak ketiga menerusi laman sosial, Instagram.

Isu itu menjadi lebih panas apabila anak Ayu, Wanna Ali, turut meninggalkan komen, namun dipadam tidak lama kemudian.

Berita Harian X