Khamis, 23 Mei 2019 | 5:14pm
SHARNAAZ bersyukur proses pembedahan anaknya yang mengalami jangkitan saluran kencing berjalan lancar. - Foto IG Sharnaaz Ahmad

Jebat selamat jalani pembedahan

KUALA LUMPUR: Anak pelakon Sharnaaz Ahmad, Jebat Jayden Ahmad yang mengalami jangkitan saluran kencing (UTI), selamat menjalani pembedahan, sebentar tadi.

Sharnaaz menerusi perkongsian di Instagram, meluahkan perasaan syukur dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan anak lelakinya yang berusia lapan bulan itu.

“Alhamdulillah, Jebat sudah selamat keluar dari dewan pembedahan. Kepada semua yang mendoakan, terima kasih. Semoga Allah balas dengan kebaikan dan pahala.

“Syukur kepada Allah kerana semua urusan lancar. Saya juga ingin berterima kasih kepada Doktor Shariz yang mengetuai pembedahan itu. Jebat akan kembali sihat dengan izin Allah,” tulisnya.

Isnin lalu, Sharnaaz memaklumkan, anaknya itu mengalami masalah jangkitan pada saluran kencing sejak beberapa bulan lalu dan perlu menjalani pembedahan.

Sharnaaz berkata, dia sebelum ini tidak menghebahkan perkara itu kerana akur, ramai lagi anak kecil lain yang mengalami masalah kesihatan yang lebih serius.

“Semestinya saya sedih melihat keadaannya yang lemah. Cuma, saya tidak berkongsi kepada umum kerana percaya, ada kanak-kanak lain yang berdepan dengan penyakit yang lebih serius dan memerlukan perhatian,” katanya.

Jebat yang dilahirkan pada 30 Ogos tahun lalu ialah anak sulung hasil perkahwinan Sharnaaz dengan Noor Nabila Mohd Noor.

Berita Harian X