Rabu, 8 Mei 2019 | 9:00am
BIARPUN berdepan kekangan, Nabila tetap berusaha memberikan mutu lakonan terbaik. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
BIARPUN berdepan kekangan, Nabila tetap berusaha memberikan mutu lakonan terbaik. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Akur kekangan, Nabila tetap buru kepuasan dalam berkarya

KUALA LUMPUR: Biarpun berdepan kekangan yang mencabar kreativiti ketika berkarya, Nabila Huda tetap berbangga, drama terbaru lakonannya, Kamar Kamariah menerima reaksi positif penonton.

Nabila berkata, sebagai pelakon, dia sentiasa terpanggil untuk melunaskan tuntutan sesuatu watak dengan lebih mendalam, namun terpaksa akur garis panduan yang ditetapkan.

Dia yang bergandingan dengan Datuk Fizz Fairuz dalam drama itu berkata, jika diberikan peluang, mereka bersedia memberikan lakonan yang lebih berani.

“Namun, bimbang pula jika babak, terutama ketika saya dipukul dianggap terlalu ganas dan tidak sesuai untuk tayangan televisyen. Dalam hal itu, kami lebih menitikberatkan mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.

“Saya akui, ramai penonton seronok kerana bagi mereka, drama itu tidak klise dan ia juga berakhir dengan pengakhiran yang tidak diduga. Semestinya, saya berbangga apabila penonton sentiasa menantikan episod demi episod drama itu,” katanya.

Mengenai gandingannya bersama Fizz yang membawa watak antagonis sebagai Murad, Nabila berkata, mereka mempunyai teknik tersendiri ketika menjayakan adegan dia dipukul.

“Ramai yang tidak tahu, ketika adegan Fizz memukul saya dengan tali pinggang, dia sebenarnya memukul tangannya sendiri. Jika terkena sedikit pada badan saya, itu perkara biasa, namun tidak sehingga mencederakan,” katanya.

Selain Nabila dan Fizz, drama arahan Raja Ahmad Alauddin yang baru selesai tayangan di TV3 itu turut menampilkan Aidil Aziz, Tasha Shilla serta Syafie Naswip.

Berkongsi mengenai Ramadan, Nabila berkata, dia berusaha mencuri masa membantu suaminya berniaga di Warung Isabella yang diusahakan di Rasta, Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Saya ada menerima dua tawaran telefilem, namun sekadar membawakan watak pembantu. Saya memilih untuk meluangkan masa dengan membantu suami berniaga sepanjang bulan ini.

“Semangat untuk membanting tulang pada bulan ini agak berbeza, tambahan pula ramai yang mengambil kesempatan untuk mencari pendapatan tambahan.

“Selain menjaga warung, saya turut memperkenalkan sambal Isabella memandangkan banyak mendapat permintaan daripada pelanggan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X