Isnin, 6 Mei 2019 | 4:06pm
Sam masih teringat kehangatan Konsert Laksamana Metal Wings X Bunkface di ibu negara, Sabtu lalu. Foto NSTP Azhar Ramli
Sam masih teringat kehangatan Konsert Laksamana Metal Wings X Bunkface di ibu negara, Sabtu lalu. Foto NSTP Azhar Ramli

Sedar diri Wings lagi otai

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah dua hari berlalu, vokalis Bunkface, Sam masih diburu gemuruh berkongsi pentas dengan band legenda, Wings pada Konsert Laksamana Metal Wings X Bunkface di sini, Sabtu lalu.

Akur kehebatan band yang sudah 35 tahun bertapak dalam dunia muzik rock tempatan, Sam dan teman-teman menerima hakikat majoriti penonton lebih teruja menyaksikan Wings terutama vokalisnya, Awie, beraksi.

“Sejujurnya, saya masih gemuruh diberi tanggungjawab membuat persembahan pembukaan pada konsert itu.

“Kumpulan Wings bukan calang-calang... Mereka meraikan ulang tahun ke-35 dalam industri, ia bukan suatu tempoh yang singkat,” katanya kepada BH Online.

Sam atau nama penuhnya, Shamsul Annuar Mohd Baharom, 32, berharap peminat terhibur dengan aksi mereka biarpun sedar reputasi Bunkface tidak segah Wings.

Tanda penghormatan, Bunkface menyanyikan lagu Wings iaitu Ingatkan Dia dan Bernafas Dalam Lumpur.

Selain itu, mereka turut membawakan lagu popular band Malam Ini Kita Punya, Rentak Laguku, Darah Muda dan Revolusi.

Paling menarik, sesuai dengan tema Laksamana, Bunkface dan Wings tampil dengan persalinan persis pahlawan Melayu hingga memukau lebih 3,000 peminat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Penonton turut disajikan dengan persembahan silat sebelum Wings mengambil alih pentas daripada Bunkface.

Mempersembahkan hampir 20 lagu tanpa henti, aura vokalis utama Wings, Datuk Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman memukau peminat, biarpun kesihatan dirinya kurang memberangsangkan.

Wings menggegarkan pentas menerusi lagu seperti Awang Trasher, Romania, Sekeping Kertas Bermaruah, Kembalilah, Situasi, Jerangkap Samar, Lipas Kudung, Gemala Saktiku, Bujang Senang, Jerangkung Dalam Almari dan Peronda.

Tidak ketinggalan lagu ‘berhantu’ Sayap Ilusi dan Sejati.

Berita Harian X