Sabtu, 4 Mei 2019 | 11:00am
ESTRANGED menggerakkan Jelajah Misi Elektrik Borneo sejak 2017. Foto Asyraf Hamzah
ESTRANGED menggerakkan Jelajah Misi Elektrik Borneo sejak 2017. Foto Asyraf Hamzah

Buat projek bekalan elektrik bukan sebab duit - Estranged

KUALA LUMPUR: Kumpulan Estranged menegaskan, inisiatif menggerakkan Jelajah Misi Elektrik Borneo diambil bukan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya sebagai tanggungjawab sosial mereka.

Pemain gitarnya, Solihuddin Hormat atau Din, 32, berkata melihat kesukaran hidup penduduk, terutama di kawasan pedalaman di Sabah mencetuskan idea kepada mereka untuk membantu menyediakan bekalan asas itu.

“Jelajah ini bermula sejak akhir tahun 2017 dan kebetulan, vokalis kami, Rich berasal dari negeri itu. Ia memudahkan kami meneroka sehingga ke daerah pedalaman.

“Sasaran kami adalah membantu sebuah kampung, setiap tahun. Kampung yang kami lawati itu mempunyai kemudahan asas lain seperti sekolah dan klinik, tetapi tiada bekalan elektrik.

“Tidak dinafikan, memang ada pihak yang mempertikai usaha kami, malah mengaitkannya dengan politik. Kami sebenarnya ikhlas membantu dan kerana itu, kami hanya menumpukan kepada sebuah kampung setahun kerana ia mengambil masa yang lama,” katanya.

Estranged yang ditemui pada majlis pelancaran single duet, Mau, bersama penyanyi dangdut Indonesia, Jenita Janet, baru-baru ini berkata, usaha mereka itu membantu penduduk di Kampung Sungai Toubang dan Kampung Kieyip, kedua-duanya terletak di Ranau.

Katanya, sebelum ini, penduduk kampung terbabit hanya bergantung kepada generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

“Kos memiliki generator juga menelan belanja tinggi dan perlu ke pekan berdekatan untuk mendapatkannya. Melihat kesukaran itu, membuatkan kami tergerak untuk membantu mereka.

“Selain mengadakan konsert amal untuk mengumpul dana, kami turut menjual barangan cenderahati seperti buku nota, buku muzik dan baju,” katanya.

Rich berkata, mereka memperuntukkan kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada royalti yang diterima untuk disalurkan kepada dana pembinaan hidroelektrik.

Berita Harian X