Jumaat, 3 Mei 2019 | 9:00am
SIMPAN Sedikit Rindu beri nafas baharu dalam kerjaya nyanyian Asmidar. Foto Aziah Azmee
SIMPAN Sedikit Rindu beri nafas baharu dalam kerjaya nyanyian Asmidar. Foto Aziah Azmee

Asmidar bangkit tebus kecewa

KUALA LUMPUR: Penyanyi Asmidar mengakui, pernah kecewa dalam mengejar impian sebagai anak seni sehingga terpaksa mencari haluan baharu yang menjamin masa depan lebih cerah.

Juara program realiti, Vokal Bukan Sekadar Rupa pada 2011 itu berkata, biarpun pelbagai usaha dilakukan, semua itu bagaikan belum memadai untuk melonjakkan namanya pada kedudukan selesa.

“Saya tertanya-tanya juga, apa lagi yang peminat mahukan, sedangkan saya sudah berusaha memberikan yang terbaik. Namun, saya percaya, setiap apa yang Tuhan aturkan pasti ada hikmah di sebaliknya.

“Demi kelangsungan hidup, saya membuka kelas nyanyian, pada masa sama masih menerima tawaran persembahan dan menjayakan projek rakaman kecil. Cuma, apa yang saya lakukan itu tidak mendapat publisiti pihak media,” luah Asmidar.

ASMIDAR bersyukur lagu duet bersama Joe Bazli, Simpan Sedikit Rindu menaikkan kembali namanya. Foto NSTP
ASMIDAR bersyukur lagu duet bersama Joe Bazli, Simpan Sedikit Rindu menaikkan kembali namanya. Foto NSTP

Pernah dikenali menerusi lagu Biar Sampai Ke Bintang, Asmidar berkata, dia bagaikan mendapat semangat baharu apabila percubaan merakamkan single duet, Simpan Sedikit Rindu bersama Joe Bazli menerima reaksi positif peminat.

Akui Asmidar, lagu ciptaan Sharon Paul dan lirik nukilan Ahmad Fedtry Yahya itu menyemarakkan kembali perjuangannya, malah menjadi batu loncatan untuk dia memulakan semula langkah sebagai penyanyi.

“Saya sangat terkejut apabila lagu ini mendapat perhatian ramai. Penerimaan mereka membuatkan saya berasa seperti diberi peluang kedua. Saya perlu melakukan sesuatu untuk tidak mensia-siakan peluang yang diberikan Tuhan ini.

“Saya menjadikan teman seperjuangan, Ernie Zakri sebagai sumber inspirasi. Kami pernah melalui pengalaman hampir sama, tetapi dia tidak pernah patah semangat.

“Hari ini, Ernie berada pada kedudukan yang cukup selesa. Saya anggap kemunculan Simpan Sedikit Rindu seperti kelahiran semula saya,” kata penyanyi berusia 33 tahun itu.

Berita Harian X