Jumaat, 26 April 2019 | 9:00am
SINONIM dengan imej rambut palsu, Jenita Janet cuba mencari kelainan setiap kali tampil di pentas. Foto Asyraf Hamzah

Jenita Janet bukan jelmaan Katy Perry

KUALA LUMPUR: Bersesuaian imej sebagai penyanyi dangdut, Jenita Janet sering tampil menggayakan rambut palsu dan sehingga ini, mempunyai lebih 1,000 koleksi untuk menyerikan penampilannya.

Gara-gara kecenderungannya menggayakan rambut palsu berwarna-warni, Jenita sering disamakan dengan Katy Perry, malah dianggap cuba meniru imej penyanyi itu.

Jenita, 31, yang mula mengumpul rambut palsu sejak 2012 mengakui, bukan mudah untuk berhadapan dengan penerimaan peminat, terutama ketika awal pembabitannya dalam dunia seni suara.

“Saya tidak berniat meniru sesiapa, justeru saya berusaha mencipta imej sendiri untuk menampilkan kelainan kepada peminat. Tidak mudah sebenarnya apabila menggayakan rambut palsu.

“Selain memerlukan penjagaan rapi, cara pemakaiannya juga perlu kemas supaya tidak mudah jatuh. Ada ketika, saya kurang selesa menggayakannya, terutama ketika cuaca panas.

“Awal dahulu, saya selalu pening kepala kerana belum terbiasa. Selain mendapatkan secara atas talian dari China, Kanada dan Amerika Syarikat, saya juga mempunyai himpunan rambut palsu yang ditempah khas,” katanya.

Janet yang mencipta nama menerusi single, Direject dan Gardu (Galau Galau Merindu) turut mencari ruang untuk menembusi pasaran di negara ini apabila bekerjasama dengan kumpulan Estranged dalam lagu, Mau.

Mengulas kolaborasi itu, penyanyi asal Bandung, Jawa Barat itu berkata, dia mengambil masa untuk menerima pelawaan Estranged kerana mereka memperjuangkan genre berbeza.

“Saya dikenali dengan lagu dangdut, jadi saya risau kerjasama ini tidak membuahkan hasil kerana genre muzik kami tidak sama. Namun, selepas mendengar melodi Mau yang turut menyelitkan elemen dangdut, baru saya bersetuju kerana ia serasi dengan jiwa.

“Di studio, Estranged banyak memberikan nasihat, terutama mengenai industri muzik di negara ini. Memandangkan ia kolaborasi pertama saya dengan artis luar, saya sangat teruja untuk bertemu peminat di sini dan menghiburkan mereka,” katanya.

Berita Harian X