Jumaat, 12 April 2019 | 2:25pm
PENYANYI, Khai, bersyukur kelahiran anak ketiganya di sebuah pusat perubatan di Bangi, semalam, dipermudahkan. - Foto Instagram Khai dan Rosma.
PENYANYI, Khai, bersyukur kelahiran anak ketiganya di sebuah pusat perubatan di Bangi, semalam, dipermudahkan. - Foto Instagram Khai dan Rosma.

Khai, Rosma timang anak ketiga

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Rosma, 33, selamat melahirkan anak ketiga di sebuah pusat perubatan di Bangi, Selangor, semalam.

Berita gembira itu dikongsi suaminya, Khai atau nama sebenarnya Mohammad Khairul Nizam Mohammad Wahi, 39, di laman Instagram mereka, pagi tadi.

Bayi perempuan diberi nama Nur Alya Dhania itu dilahirkan secara normal dengan berat 2.48 kilogram, kira kira jam 1.48 petang.

“Alhamdulillah, senang kali ini proses melahirkan anak ketiga kami. Semuanya dipermudahkan.

“Terima kasih atas layanan baik doktor dan stafnya. Juga atas doa semua ahli keluarga, sanak saudara dan peminat,” kata penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia (AF) musim pertama itu.

Penyanyi Dambaan Pilu itu turut meluahkan keterujaan kerana April banyak menyaksikan detik indah buat dirinya dan keluarga.

“Bulan ini banyak peristiwa penting berlaku dalam hidup saya. Pada 11 April, anak ketiga kami dilahirkan, 16 April pula hari lahir isteri saya. Manakala 26 April adalah tarikh ulang tahun perkahwinan kami,” katanya.

Khai mendirikan rumah tangga dengan Rosma atau nama penuhnya Rosmayati Sidik, yang juga teman seangkatannya dalam AF, pada 2008.

Pasangan selebriti terbabit sebelum ini dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Muhammad Amzar Danish, 9, dan Nur Amani Damia, 4.

Berita Harian X