Jumaat, 12 April 2019 | 9:00am
Kumpulan Raihan sedia bekerjasama dengan artis baharu dalam usaha mendekati generasi muda. Foto NSTP Amirudin Sahib
Kumpulan Raihan sedia bekerjasama dengan artis baharu dalam usaha mendekati generasi muda. Foto NSTP Amirudin Sahib

Raihan, Alif Satar buat kejutan

KUALA LUMPUR: Bermula dengan menyanyi bersama dalam sebuah program hiburan, kumpulan Raihan mengesahkan bakal merakamkan lagu Sesungguhnya bersama Alif Satar dalam projek istimewa.

Berkongsi perkara itu, salah seorang anggota Raihan, Che Amran Idris memberitahu, versi baharu Sesungguhnya19 akan dirakam bersama Alif, tidak lama lagi.

“Kami sebenarnya terbuka dengan projek kolaborasi termasuk dengan Alif atau artis baharu lain.

“Selain itu, kami juga melihat potensi ramai penyanyi muda seperti Sufian Suhaimi. Kalau ada ruang untuk bekerjasama, pasti kami sambut dengan tangan terbuka,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Alif bersama Raihan yang turut dianggotai Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim, pernah mendendangkan lagu Sesungguhnya dalam program Bintang Minggu Ini terbitan Astro.

Che Amran berkata, pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan Alif yang meminati Raihan sejak dahulu lagi.

“Menjadi suatu kebanggaan bagi kumpulan lama seperti kami dapat menarik minat artis muda seperti Alif. Malah, dia banyak menyanyikan lagu kami dan berkongsinya di YouTube,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Raihan akan terbabit dengan Konsert Malam Kesenian dan Kebudayaan : Qasidah Night di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, di sini, pada 27 April depan.

Acara itu turut membabitkan Datuk Jamal Abdillah dan Sharifah Khasif.

Che Amran berkata, Sharifah mempelawa mereka peluang beraksi dalam acara itu ketika menyertai program pelayaran Islamik, tidak lama dahulu.

“Akhirnya perbincangan kami mencapai kata sepakat, awal tahun ini sehingga konsert itu diumumkan,” katanya.

Berita Harian X