Khamis, 14 March 2019 | 12:30pm
Syafie Naswip dan Aishah Azman bakal bertunang, bulan depan. Foto Ig Syafie Naswip

Syafie Naswip persiap diri tempuh alam rumah tangga

KUALA LUMPUR: Meskipun sukar meramalkan perjalanan hari mendatang, pelakon Syafie Naswip berusaha membentuk diri menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab.

Bakal bertunang dengan pelakon, Aishah Azman, bulan depan, Syafie, 27, berkata dia sedang mempersiapkan diri untuk memikul amanah besar itu, termasuk urusan di dapur.

“Dari segi fizikal dan mental, insya-Allah, saya sudah bersedia. Sepanjang mengenalinya, kami sering menyelesaikan masalah bersama.

“Dalam hal ini, saya tidak berani bercerita panjang kerana banyak yang belum kami lalui bersama-sama. Cuma, saya berharap perancangan kami untuk berumah tangga dipermudahkan,” katanya.

Syafie dan Aishah yang juga adik kepada pelakon, Afiq Muiz sudah tiga tahun menjalin cinta, seterusnya mengambil keputusan bertunang, selepas mendapat restu keluarga.

Sementara itu, ditanya kecenderungannya memuat naik pelbagai resipi di laman sosial, Instagram, Syafie berkata, dia sekadar berkongsi aktiviti harian bersama peminat.

“Saya memang minat memasak dan kelebihan itu, secara tidak langsung dapat membantu menyediakan hidangan untuk keluarga, terutama apabila berumah tangga nanti.

“Saya belajar memasak daripada ibu sejak kecil dan saya seronok setiap kali berkongsi perkara yang menjadi minat.

Ada juga resipi unik yang saya dapat ketika menjalani penggambaran di tempat orang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syafie sedang menjalani penggambaran drama, Empat Pejuru bersama Sabri Yunus, Fauziah Ahmad Daud, Fezrul Khan, Datuk Fizz Fairuz dan Ezzaty Abdullah.

Berita Harian X