Selasa, 12 March 2019 | 2:30pm
Duta DFKL 2019, Janna Nick. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Janna puas 10 juta tonton Leftenan Zana

KUALA LUMPUR: Di sebalik kemelut hubungan antara Janna Nick dengan Sheila Rusly, drama bersiri Leftenan Zana meraih sambutan luar biasa apabila mencatat 10 juta tontonan sepanjang 10 episod bersiaran di TV3.

Janna yang juga bintang utama drama rantaian berkenaan mengakui, isu dalaman membabitkannya dengan penerbit JS Pictures itu bukan alasan untuk tidak mempromosikan naskhah terbabit setiap hari di Instagramnya.

“Hanya syukur yang mampu saya ucapkan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai sambutan penonton. Sebagai pelakon utama saya tetap menjalankan tanggungjawab untuk mempromosikan drama bersiri itu di laman sosial seperti dikehendaki penerbit.

“Berkat sokongan ramai, drama ini mendapat sambutan hangat penonton dan mencatat rating paling tinggi di Slot Lestary TV3, setakat ini. Saya juga puas kerana kerja keras untuk merealisasikan Leftenan Zana nyata berbaloi,” katanya.

Janna berkata demikian ketika mempromosikan Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL) bersama seorang lagi duta DFKL 2019, pelakon Izzue Islam di Balai Berita, Bangsar, di sini.

Sementara itu, selain Janna, drama bersiri 16 episod arahan Jinggo itu turut membariskan Sheila, Tunku Hanis, Hairie Othman, Zarul Husin, Ameerul Asyraf dan Redza Rosli.

Ditanya mengenai isu bersama Sheila, akuinya, dia rasa sudah selesai menjadi anak murid yang menimba ilmu daripada seseorang yang dianggap sebagai guru dan berharap tiada pihak lain bertanyakan lagi soalan berkenaan, selepas ini.

“Saya sudah selesai menjadi anak murid yang menuntut ilmu. Sudah tiada apa yang perlu diperkatakan lagi. Inilah kata-kata saya yang terakhir dan menjadi noktah (kepada isu terbabit),” katanya yang enggan memanjangkan perkara berkenaan.

Terdahulu, selain sambutan hebat tontonan di kaca TV, sumber Nielsen Audience Measurement menyatakan, laman Youtube @TV3Malaysia dan Drama Sangat turut memperoleh angka 6 juta tontonan untuk drama terbabit.

Berita Harian X