Ahad, 10 March 2019 | 3:00pm
Nadiyah berharap masyarakat tidak terus menghukum Oktovia Manrose yang terpalit dengan kontroversi bersama Aliff Aziz, baru-baru ini. Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Nadiyah berharap masyarakat tidak terus menghukum Oktovia Manrose yang terpalit dengan kontroversi bersama Aliff Aziz, baru-baru ini. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Cukup-cukuplah mengecam, beri Oktovia ruang perbetulkan diri'

KUALA LUMPUR: Pelakon Nadiyah Shahab berharap, masyarakat memberikan Oktovia Manrose ruang untuk memperbaiki diri dan bukan berterusan menghukum atas kesilapannya sebelum ini.

Nadiyah, 27, berkata sebagai teman rapat, dia berharap masyarakat berlaku adil dan tidak terus menghentam Oktovia yang terpalit dengan kontroversi bersama pelakon, Aliff Aziz, baru-baru ini.

“Sekalipun dia berbuat silap, berikan nasihat dan kata semangat, bukan menambah masalah sedia ada dengan terus menghukumnya.

“Kita tidak tahu kisah sebenar di sebalik apa yang berlaku, jadi berikan dia ruang untuk memperbaiki diri. Sebagai kawan, Oktovia sangat baik dan saya simpati apabila dia dicemuh bertalu-talu kerana kesilapannya.

“Jangan terus menilai peribadi Oktovia hanya berdasarkan kontroversi yang berlaku. Cukuplah dengan tekanan yang diterimanya kerana dia juga berhak untuk bangkit dan memperbetulkan kesilapan,” katanya.

Nadiyah atau nama lengkapnya, Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab berkata, biar apa juga tanggapan masyarakat terhadap Oktovia, dia tidak akan sesekali meminggirkan wanita itu.

“Sebagai rakan, saya akan tetap ada bersamanya ketika suka dan duka. Dia sudah meminta maaf, tetapi mengapa masih ada segelintir yang terus mengungkit dan membangkitkan kisah yang sudah berlalu.

“Jangan ditambah masalah yang ada, sebaliknya berikan nasihat kerana itu yang dia perlukan saat ini. Kecaman sebenarnya tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya membuatkan keadaan menjadi bertambah tegang,” katanya.

Oktovia dikecam hebat gara-gara dikaitkan menjalin hubungan dengan Aliff Aziz. Foto NSTP
Oktovia dikecam hebat gara-gara dikaitkan menjalin hubungan dengan Aliff Aziz. Foto NSTP

Pelakon kelahiran Singapura itu ditemui ketika menghadiri sidang media sempena tayangan telefilem, Saya Jual Ye Bang yang turut menampilkan Zizan Razak, Uqasha Senrose dan Datuk AC Mizal.

Mengulas kemunculannya dalam telefilem itu, Nadiyah yang mula menyerlah selepas membintangi drama, Lafazkan Kalimah Cintamu berkata, dia tercabar apabila bergandingan dengan dua pelakon yang juga pelawak berpengalaman.

“Tidak mudah sebenarnya berlakon dengan Zizan dan AC kerana ada saja yang mereka olah pada saat akhir. Saya perlu bijak memahami pergerakan mereka supaya tidak tenggelam.

“Ada ketika, saya keliru kerana apa yang mereka lakukan di depan kamera tidak sama ketika latihan. Mereka juga sentiasa membuatkan suasana di lokasi penggambaran gamat dengan ketawa.

“Paling tidak dapat saya lupakan apabila terpaksa melakonkan babak bergaduh dengan Uqasha. Janggal sebenarnya kerana di luar, kami berkawan baik. Selesai penggambaran, pasti kami akan duduk mengimbau babak yang dijayakan,” katanya.

Berita Harian X