Jumaat, 8 March 2019 | 3:00pm
Sufian mengaku sukar mencari gadis yang menepati kriteria untuk digandingkan dalam video muzik terbarunya. Foto NSTP Akma Bakar
Sufian mengaku sukar mencari gadis yang menepati kriteria untuk digandingkan dalam video muzik terbarunya. Foto NSTP Akma Bakar

Sufian cari gadis comel, matang

KUALA LUMPUR: Jika anda gadis berusia antara 18 hingga 30 tahun dan memiliki personaliti menarik, ada harapan untuk ‘disunting’ dan diberi layanan istimewa oleh penyanyi Di Matamu, Sufian Suhaimi.

Sempena single baharu berjudul Mencuba, Sufian dalam misi mencari gadis menepati kriteria ditetapkan untuk berganding dengannya dalam muzik video lagu terbabit.

Bakal memulakan penggambaran selama dua hari mulai Isnin depan, tanda pagar ‘gadis mencuba’ dan ‘mencuba’ diperkenalkan sebagai promosi single terbabit, selain kempen mendapatkan ‘pasangan’ Sufian dalam klip berkenaan.

Hebahan mencari gadis bertuah itu sudah dibuat Sufian, tiga hari lalu.

Sufian berkata, pencarian gadis yang menepati kriteria agak mencabar apatah lagi perlu mendapatkan hanya seorang daripada yang berminat.

“Agak mencabar apabila kita perlu menyenarai pendek dengan memilih beberapa orang daripada ribuan gadis yang setakat ini menghantar permohonan.

“Daripada jumlah beberapa orang, hanya seorang yang bakal ditampilkan dalam video muzik itu.

“Gadis dicari perlu mempunyai fizikal dan personaliti baik. Lebih bagus, jika gadis itu dapat membawa watak matang dan comel pada masa sama,” katanya kepada BH Online.

Lagu Mencuba dicipta Sufian dan komposer, Zynakal.

Mengenai karya terbarunya itu, Sufian berkata, konsep lagu berkenaan lebih ringan berbanding Di Matamu yang mencetuskan fenomena.

“Seperti biasa, lagu ini menjadi saluran untuk saya berkongsi cerita dan rasa. Seperti mana-mana penyanyi dan komposer, kepuasan itu akan lebih dirasai jika lagu yang dilantun dekat dengan diri.

“Lagu ini masih berteraskan pop. Ini percubaan pertama saya mendapatkan khidmat penggubah dari Indonesia,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X