Khamis, 7 March 2019 | 2:18pm
Aliff meminta wanita yang didakwa memfitnahnya menghentikan perbuatan itu sebelum mana-mana pihak mengambil tindakan. Foto IG Aliff Aziz
Aliff meminta wanita yang didakwa memfitnahnya menghentikan perbuatan itu sebelum mana-mana pihak mengambil tindakan. Foto IG Aliff Aziz

'Hentikan fitnah awak'

KUALA LUMPUR: Selepas hampir seminggu reda kontroversi ‘cinta lokasi’, Aliff Aziz kembali bersuara bagi menangkis serangan fitnah terbaru.

Pelakon dan penyanyi itu mendesak seorang wanita berhenti menyebarkan fitnah mendakwa dia dengan Oktovia Manrose berpegangan tangan di sebuah pasar raya, sebelum tindakan tegas diambil.

Aliff, 27, berkata, tohmahan yang memburukkan lagi situasi itu tidak berasas. Ini kerana, dakwa Aliff, dia tidak berada di lokasi dimaksudkan, sebaliknya di Singapura.

“Kepada individu yang memfitnah mendakwa saya dan Oktovia berada di sebuah pasar raya, sila hentikan sebaran fitnah awak.

“Saya berada di Singapura sejak dua hari lalu untuk bertemu keluarga. Sebelum mana-mana pihak mengambil tindakan fitnah tidak berbatas ini, tolong hentikannya,” katanya.

Aliff meluahkan kekesalan itu melalui Instagram (IG) Story awal pagi tadi selepas gosip yang disebarkan wanita berkenaan mula diperkatakan netizen.

Dalam status yang dimuat naik di Facebook, individu terbabit mendakwa Aliff dan Oktovia berpegangan tangan di sebuah pasar raya di Kelana Jaya, Petaling Jaya, namun, dia tidak sempat mengambil gambar sebagai bukti.

Minggu lalu, Bella Astillah mendedahkan Aliff keluar berhibur hingga awal pagi dengan Oktovia yang juga gandingannya dalam telefilem, Dosa Itu Bukan Miliknya.

Berita Harian X